EPIC Berhad jalin kerjasama dengan AMS untuk projek solar PV 74.4 kWp di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPIC Berhad jalin kerjasama dengan AMS untuk projek solar PV 74.4 kWp di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan – Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), anak syarikat milik penuh Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menjalin kerjasama strategik dengan Advantage Marine Services (Malaysia) Sdn Bhd (AMS) bagi pelaksanaan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di Gelang Patah, Johor.

 

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi satu perjanjian yang menyaksikan EPPSB dilantik sebagai penyedia utama infrastruktur sistem Solar PV bagi kemudahan gudang dan limbungan AMS.

 

EPIC dalam satu kenyataan memaklumkan projek itu melibatkan pemasangan sistem Solar PV atas bumbung berkapasiti 74.4 kWp di bawah skim Program Peralihan  Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (Solar ATAP).

 

“Kerja-kerja pemasangan dijadualkan bermula pada awal Februari 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 40 hari, merangkumi fasa reka bentuk sistem, perolehan bahan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan.

 

“Projek berkenaan merupakan projek pertama EPPSB di Johor dan menandakan langkah strategik syarikat untuk menembusi pasaran Wilayah Selatan serta memperluaskan penawaran perkhidmatan penyelesaian tenaga boleh baharu di peringkat nasional,” kata EPIC dalam kenyataan tersebut.

 

Majlis pemeteraian perjanjian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts  Muhtar Suhaili bersama Pengarah Urusan AMS, Andrew Teow. 

 

Turut hadir Ketua EPPSB, Azman Muda serta Pengarah AMS, Victor Wong.

 

Mengulas mengenai kerjasama itu,  Muhtar berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen EPIC Berhad dalam memacu pertumbuhan syarikat di samping menyokong agenda peralihan tenaga negara melalui penyelesaian tenaga boleh baharu yang praktikal dan berimpak tinggi.

 

“Projek tersebut bukan sahaja membantu EPPSB menembusi pasaran Wilayah Selatan khususnya di Johor, malah menjadi pemangkin kepada usaha syarikat untuk membantu rakan industri meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan jejak karbon operasi mereka.

 

“EPPSB sebelum ini telah memperoleh lesen dan berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan panel solar (RPVSP) serta pelabur PV solar berdaftar (RPVI) di bawah Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Suruhanjaya Tenaga dan (SEDA) Malaysia,” katanya.

 

Seiring dengan perkembangan itu, EPIC Berhad melalui EPPSB akan terus memperluaskan kerjasama strategik seumpama ini bagi menyokong pembangunan ekosistem tenaga bersih yang mampan dan berdaya saing.

 

Kerjasama tersebut selari dengan aspirasi nasional ke arah ekonomi rendah karbon, di samping menyokong AMS dalam melaksanakan operasi yang lebih cekap tenaga, mampan dan berteraskan amalan kelestarian. - DagangNews.com