KUALA LUMPUR 15 Jan – Eduspec Holdings Berhad akan mendapatkan kelulusan daripada majoriti pemegang saham berhubung cadangan penyelesaian hutang syarikat berkenaan berjumlah RM10.23 juta.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut mengeluarkan notis bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 30 Januari 2026 yang bertempat di Sunway Nexis, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia tambahnya, menerusi perjumpaan tu, mereka membincangkan satu Resolusi Biasa mengenai syor penyelesaian hutang tersebut kepada CM Asia Learning Pte Ltd.
"Berdasarkan perincian, hutang berkenaan akan diselesaikan secara sepenuhnya melalui terbitan sebanyak 68,168,900 saham biasa baharu dalam Eduspec pada harga terbitan 15 sen sesaham," katanya.
Cadangan tersebut jelas kumpulan itu, dilaksanakan selaras dengan terma perjanjian penyelesaian hutang yang sudah ditandatangani secara rasmi pada 14 November 2025 antara Eduspec dan CM Asia.
Saham tambahan yang diterbitkan itu jelasnya, akan mempunyai kedudukan sama dengan saham sedia ada, namun pemegang saham tersebut tidak layak untuk menerima sebarang dividen, hak, atau agihan.
Selain itu, pemegang saham sedia ada diminta untuk mengetepikan sebarang hak statutori mereka bagi membolehkan peruntukan saham baharu tersebut kepada CM Asia dilaksanakan tanpa perlu ditawarkan.
"Hanya pelabur syarikat yang namanya terpapar dalam Rekod Pendeposit pada 23 Januari 2026 sahaja yang layak untuk hadir, bercakap, dan mengundi pada EGM tersebut," tambah kenyataan Eduspec.
Sebarang instrumen pelantikan proksi mestilah didepositkan kepada Pendaftar Saham syarikat berkenaan selewat-lewatnya 24 jam sebelum masa mesyuarat ditetapkan. - DagangNews.com








