KUALA LUMPUR 20 Jan – Eastern & Oriental Berhad (E&O) mengumumkan pelancaran projek kediaman baharu mereka, Seri Embun di Elmina, Shah Alam pada Februari 2026, fasa seterusnya dalam pembangunan perbandaran bersepadu syarikat itu.
Pengumuman itu menyusuli kejayaan Laman Embun, projek presint komersial pertama E&O di Elmina yang mencatat 100 peratus tempahan dalam minggu pertama pelancarannya pada November 2025.
E&O berkata kejayaan itu mencerminkan permintaan pasaran yang tinggi terhadap pembangunan terancang di kawasan luar pusat bandar.
Menurut E&O, minat pembeli dan pelabur kini semakin beralih kepada perbandaran berpusat yang lengkap dengan kemudahan kediaman, komersial dan komuniti.
“Seri Embun dibangunkan untuk memenuhi trend ini dengan menyediakan persekitaran yang menyokong kehidupan harian dan aktiviti ekonomi.
“Projek ini terletak di Koridor Guthrie, kawasan strategik yang sedang pesat membangun dengan akses mudah ke pusat perniagaan dan infrastruktur utama.
“Kawasan sekitarnya turut menawarkan kemudahan pendidikan, gaya hidup dan peluang perniagaan yang berkembang, sekali gus meningkatkan nilai jangka panjang projek,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata Seri Embun menggabungkan prinsip perancangan bersepadu yang menekankan kebolehcapaian, kesalinghubungan dan kebolehdiaman jangka panjang.
“Projek ini memberi peluang kepada penduduk untuk tinggal, bekerja dan bersosial dalam satu ekosistem.
“Pembangunan ini juga meneruskan strategi E&O membina komuniti bersepadu secara berperingkat, termasuk infrastruktur awal seperti kelab rekreasi dan komponen komersial, sebelum pelancaran kediaman.
“Strategi ini diyakini mampu menarik minat pelabur dan pembeli yang lebih berhati-hati dalam membuat keputusan,” katanya.
Seri Embun dibina di kawasan tanah tinggi yang menghadap Elmina, dengan reka bentuk yang mengambil kira persekitaran semula jadi dan landskap, untuk meningkatkan pengalaman hidup serta identiti perbandaran.
Dengan pelancaran Seri Embun, E&O bukan sahaja memperluas portfolionya dalam segmen kediaman, tetapi turut menegaskan pendekatan mereka dalam membangunkan perbandaran bersepadu yang mampu memberi nilai ekonomi dan sosial kepada penduduk serta pelabur. - DagangNews.com








