KUALA LUMPUR 27 Jan – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, menempelak kerajaan kerana berkemungkinan “terlebih lapor” data pendapatan negara dan mendakwa angka rasmi yang diumumkan adalah termasuk cukai yang belum dibayar semula kepada pembayar.
Rafizi menegaskan Malaysia menggunakan sistem akaun berasaskan tunai, di mana pendapatan cukai dicatat berdasarkan kutipan sebenar sahaja, tanpa menolak jumlah yang sepatutnya dikembalikan.
Menurut beliau, kerajaan melaporkan pendapatan RM322 bilion untuk 2024, tetapi RM33.3 bilion daripada jumlah itu adalah cukai yang belum dibayar kepada rakyat dan perniagaan.
“Jika cukai tertunggak ini diambil kira, defisit fiskal sebenar negara bagi 2024 adalah antara 5.8 hingga 6 peratus daripada KDNK.
“Ini jauh lebih tinggi daripada angka rasmi 4.1 peratus yang digembar-gemburkan kerajaan,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Parlimen, semalam.
Rafizi mengingatkan, isu pengembalian cukai yang tertunggak bukanlah satu perkara baharu.
“Pelbagai pihak, termasuk ahli parlimen kerajaan sendiri, sudah lama membangkitkan kelewatan LHDN dalam memproses pembayaran balik cukai.
“Kelewatan ini jelas membebankan perniagaan kecil dan sederhana, yang terpaksa menanggung tekanan aliran tunai kerana duit mereka tersekat dengan kerajaan,” katanya.
Bagi menangani isu tersebut, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mengumumkan kenaikan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion.
Namun Rafizi menegaskan, jumlah tersebut masih tidak mencukupi.
Tahun lepas, LHDN berjaya membayar RM22.45 bilion kepada 3.6 juta pembayar cukai.
Rafizi berkata janji untuk menyelesaikan pengembalian cukai korporat bagi tahun taksiran 2023 dan 2024 yang dijangka selesai pada 2026 adalah terlalu lambat.
“Peruntukan RM4 bilion itu hanya umpama setitik dalam lautan tanggungan cukai yang perlu dikembalikan kerana jumlahnya semakin besar,” katanya.
Berdasarkan penyata kewangan kerajaan 2024, cukai tertunggak meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM33.3 bilion pada 2024, melonjak 128 peratus dalam tempoh empat tahun sahaja.
Trend ini menunjukkan tunggakan bayaran balik cukai pada 2025 dijangka melebihi RM33.3 bilion, menambah tekanan kepada kewangan rakyat dan perniagaan.
Rafizi turut mempersoalkan sama ada kelewatan itu berlaku akibat ketidakcekapan pentadbiran atau satu strategi untuk menutup defisit sebenar kerajaan.
“Kementerian Kewangan perlu dedahkan kedudukan fiskal sebenar negara dengan telus, mengambil kira jumlah bayaran balik cukai tertunggak yang besar ini.
“Rakyat berhak tahu keadaan kewangan negara yang sebenar. Tidak boleh lagi kerajaan cuba menutup fakta hanya untuk kelihatan lebih bagus di atas kertas,” katanya. - DagangNews.com








