KUALA LUMPUR 14 Jan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendesak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling tegas dan menyeluruh terhadap pemilik premis perniagaan yang didapati melanggar syarat penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis mereka.
DBP berkata tindakan itu perlu dilakukan segera tanpa sebarang ruang rundingan atau tempoh nasihat diberikan kepada pemilik premis yang terbukti melanggar syarat lesen iklan mereka.
DBP dalam satu kenyataan menzahirkan rasa amat kecewa terhadap segelintir pemilik premis perniagaan yang masih tegar meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan, meskipun perkara itu telah lama diwajibkan di bawah undang-undang.
“Isu berkenaan yang kembali tular di media sosial baru-baru ini jelas menunjukkan masih terdapat pihak yang sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan serta mencabar kedaulatan bahasa rasmi negara demi kepentingan perniagaan.
“Tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan merupakan satu pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan tonggak jati diri negara.
“DBP ingin mengingatkan semua pihak bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan dan papan premis perniagaan bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan satu kewajipan yang mesti dipatuhi oleh setiap pengusaha perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengikut peraturan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil Iklan PBT, bahasa kebangsaan hendaklah dipaparkan secara jelas dengan saiz tulisan yang lebih besar serta diletakkan pada kedudukan yang lebih utama berbanding bahasa-bahasa lain.
Bagaimanapun, DBP mendapati masih terdapat pemilik premis yang memberikan keutamaan kepada bahasa asing sehingga membelakangkan jati diri kebangsaan.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini tidak boleh diterima sama sekali walaupun dengan alasan mengejar kepentingan perniagaan.
“Kegagalan berulang ini menunjukkan pendekatan nasihat dan bimbingan yang diberikan sebelum ini telah diremehkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, DBP memohon kerjasama orang ramai agar terus melaporkan sebarang pelanggaran penggunaan bahasa yang dikesan di kawasan awam supaya tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa.
DBP juga menegaskan pihaknya melalui inisiatif DBP Sah Bahasa sentiasa bersedia membantu memastikan setiap penggunaan bahasa pada iklan dan papan tanda adalah tepat serta mematuhi standard bahasa kebangsaan yang betul tanpa menjejaskan kreativiti perniagaan.
Menurut DBP, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab semua pihak sebagai tanda hormat kepada kedaulatan undang-undang dan maruah negara yang merdeka. - DagangNews.com








