KUALA LUMPUR 9 Jun - Pengerang Energy Complex Sdn Bhd (PEC) melantik China National Chemical Engineering Co Ltd (CNCEC) sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan kemudahan petrokimia untuk industri hiliran bernilai AS$5.32 bilion di Johor.
Pelantikan itu menandakan satu lagi perkembangan penting projek petrokimia berskala mega tersebut yang kini berada di peringkat akhir mendapatkan kelulusan daripada agensi kredit eksport global serta institusi pembiayaan projek.
Dalam kenyataan, PEC berkata, CNCEC dipilih selepas melalui proses penilaian menyeluruh yang merangkumi aspek kepakaran teknikal, kekuatan kewangan dan keupayaan melaksanakan projek berskala besar.
Menurut syarikat itu, pengalaman luas CNCEC dalam sektor tenaga dan petrokimia global serta penguasaannya terhadap teknologi Honeywell UOP yang digunakan dalam reka bentuk proses projek berkenaan menjadi antara faktor utama pemilihan syarikat tersebut.
"Pelantikan ini mencerminkan kemajuan berterusan projek ke arah fasa pembinaan dan mengukuhkan komitmen kami untuk merealisasikan sebuah kemudahan petrokimia bertaraf dunia di Malaysia," katanya.
Penganugerahan kontrak itu turut memperkukuhkan hubungan strategik antara PEC dan CNCEC, dengan kedua-dua pihak dijangka meneroka peluang kerjasama baharu dalam pembangunan projek tenaga dan petrokimia pada masa hadapan.
Perkembangan tersebut hadir selepas laporan sebelum ini menyatakan CNCEC bakal mengambil alih peranan sebagai kontraktor utama projek daripada syarikat berpangkalan di Itali, Maire SpA, susulan beberapa semakan jadual pelaksanaan yang berpunca daripada cabaran pembiayaan dan ketidaktentuan geopolitik global.
Kompleks Tenaga Pengerang yang dibangunkan oleh ChemOne Group dari Singapura merupakan antara pelaburan strategik terbesar dalam kawasan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC), yang kini menjadi hab petrokimia terbesar negara.
Apabila beroperasi sepenuhnya, kompleks bersepadu pemisah kondensat dan aromatik itu dijangka menghasilkan kira-kira 2.7 juta tan produk aromatik, 3.9 juta tan produk petroleum serta 50,000 tan hidrogen setiap tahun untuk pasaran domestik dan eksport.
Penganalisis industri melihat projek berkenaan berpotensi memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pemprosesan dan perdagangan petrokimia serantau, disokong oleh pertumbuhan permintaan petrokimia di Asia serta lokasi strategik negara di laluan perdagangan maritim utama dunia.
Bagaimanapun, mereka berpandangan kejayaan pelaksanaan projek itu masih bergantung kepada faktor seperti keadaan pasaran pembiayaan global, peningkatan kos pembangunan dan turun naik harga tenaga yang boleh mempengaruhi jadual serta kos keseluruhan projek. - DagangNews.com








