Cagamas perkenal jadual terbitan sulung, sasar kutipan Februari hingga Oktober 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cagamas perkenal jadual terbitan sulung, sasar kutipan Februari hingga Oktober 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – Cagamas Berhad, memperkenalkan jadual terbitan pertama dalam satu inisiatif bagi meningkatkan ketelusan serta memberi keterlihatan lebih jelas terhadap aktiviti pengumpulan dananya.

 

Syarikat gadai janji nasional Malaysia itu dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut menbolehkan ia menyasarkan terbitan secara berasingan pada Februari, Mei, Julai dan Oktober 2026.

 

Bagaimanapun menurutnya, butiran indikatif bagi setiap terbitan berjadual tersebut akan diumumkan kemudian selewat-lewatnya pada minggu terakhir bulan berkenaan sebelum sasaran terbitan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Kameel Abdul Halim berkata, perkongsian jadual indikatif itu bertujuan menyokong perancangan kecairan dan pelaburan yang lebih berkesan dalam kalangan pemegang instrumen sedia ada dan bakal pelabur.

 

“Dengan berkongsi jadual indikatif ini, syarikat berhasrat untuk memacu perancangan kecairan dan pelaburan yang lebih berkesan dalam kalangan pemegang instrumen semasa dan prospektif,” katanya.

 

Inisiatif tersebut menyusul tahun rekod Cagamas yang menyaksikan RM31.3 bilion berjaya dikumpul melalui bon, sukuk, kemudahan pembiayaan dan instrumen kewangan lain, meskipun berdepan persekitaran global mencabar yang dicirikan oleh volatiliti pasaran kewangan, ketegangan geopolitik serta perubahan dasar monetari.

 

Cagamas menjelaskan hasil terbitan hutang itu digunakan terutamanya untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan aset layak lain daripada sistem kewangan domestik, sekali gus membebaskan kecairan kepada pemberi pinjaman serta menyokong pemilikan rumah.

 

Bagaimanapun, syarikat menegaskan ia boleh menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana terbitan yang disenaraikan dalam kalendar tersebut bergantung kepada keadaan pasaran semasa. 

 

“Cagamas juga boleh membuat pengumuman pengumpulan dana tidak berjadual dari semasa ke semasa,” katanya. - DagangNews.com