CAB Cakaran beli hartanah perindustrian di Kuantan bernilai RM2.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CAB Cakaran beli hartanah perindustrian di Kuantan bernilai RM2.8 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 JanCAB Cakaran Corporation Berhad mengambil alih sebuah bangunan industri satu tingkat dan pejabat dua tingkat di Kuantan, Pahang dengan pertimbangan tunai sebanyak RM2.8 juta.


Urus niaga tersebut dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Pasaraya Jaya Gading Sdn Bhd (PJG), apabila memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama-sama Fah Leong Sdn Bhd pada 19 Januari 2026.


Kata kumpulan berkenaan, hartanah tersebut yang terletak di Lot 54, Kawasan Perindustrian Semambu itu berkeluasan kira-kira 3,904 meter persegi dengan tempoh pajakan sah sehingga November 2050.


"Pengambilalihan ini dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan penglibatan kepentingan pemegang saham utama dalam kedua-dua syarikat itu," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Premis itu kini disewa PJG untuk operasi pasar raya, pejabat, dan gudang, dengan pemilikan hartanah ini bertujuan menjamin hak milik premis, serta menjimatkan kos sewa tahunan sebanyak RM158,400.


Ia memberikan kawalan operasi yang lebih baik, dengan harga pembelian dipersetujui bersama setelah mengambil kira nilai pasaran semasa oleh penilai bebas, PA International Property Consultants.


Transaksi ini kata CAB, akan dibiayai sepenuhnya melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, namun pengambilalihan tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan atau aset bersih.


"Bagaimanapun, pemerolehan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan melalui kecekapan kos kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026," jelasnya lagi.


Lembaga Pengarah CAB menyatakan yang langkah pembelian ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat untuk menyokong kestabilan perniagaan jangka panjang dan meningkatkan nilai pemegang saham.,


Ia namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa termasuk kebenaran daripada Menteri Besar Pahang, dengan transaksi ini dijangka selesai menjelang suku kedua tahun 2026. - DagangNews.com