KUALA LUMPUR 15 Jan – BMI Country Risk & Industry Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk sepanjang 2026 berikutan sokongan daripada permintaan domestik yang kukuh.
Dalam nota yang dikeluarkan hari ini, unit Fitch Solutions itu menyatakan bahawa minit mesyuarat BNM pada November 2025 menunjukkan penilaian mereka terhadap prospek pertumbuhan 2026 kekal tidak berubah berbanding mesyuarat pada September, dengan menekankan sokongan daripada permintaan domestik yang kukuh.
“Kami selari dengan bank dan menjangkakan pertumbuhan akan lebih perlahan daripada anggaran 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.1 peratus pada 2026, iaitu di hujung bawah ramalan BNM sebanyak 4.0 peratus hingga 4.5 peratus,” kata BMI.
BMI turut menyatakan bahawa bank pusat mempunyai kebimbangan yang minimum terhadap inflasi buat masa ini, kerana inflasi keseluruhan (headline inflation) secara umumnya seperti yang dijangka, dengan purata 1.4 peratus antara Januari 2025 hingga November 2025.
“Sehubungan dengan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam pada Januari 2026 dan bayaran tunai RM100 kedua kepada semua rakyat pada Februari, kami telah menaikkan ramalan inflasi kami kepada purata 1.9 peratus pada 2026, daripada 1.7 peratus sebelum ini,” tambahnya.
BMI berkata bahawa ramalan terkini berada di hujung atas ramalan kerajaan Malaysia iaitu 1.3 peratus hingga 2.0 peratus, tetapi secara umum selari dengan purata 1.8 peratus bagi tempoh 2020-2024.
Firma penyelidikan itu juga telah mengubah ramalan pertukaran asingnya, kini menjangkakan ringgit akan mencapai RM4 bagi setiap dolar AS menjelang akhir 2026.
BMI berkata pasukan pakar ekonomi mereka yang memantau pasaran Amerika Syarikat baru-baru ini menurunkan ramalan kadar faedah, dan kini menjangkakan kadar dana persekutuan (federal funds rate) akan dipotong sebanyak 50 mata asas lagi kepada kadar terminal 3.25 peratus, daripada ramalan sebelumnya 3.50 peratus.
“Dengan BNM mengekalkan OPR, ini bermakna perbezaan hasil (yield differentials) sepatutnya bergerak memihak kepada ringgit,” kata BMI. -- BERNAMA








