KUALA LUMPUR 16 Jan – Binastra Corporation Berhad mencatatkan pencapaian terbesar dalam sejarah syarikat selepas memperoleh kontrak bernilai RM1.2 bilion bagi kerja-kerja pembinaan utama dan infrastruktur pembangunan Causewayz Square di Johor Bahru.
Kontrak tersebut melibatkan penerimaan dua surat anugerah yang diberikan kepada anak syarikat milik penuh Binastra iaitu Binastra Builders Sdn Bhd daripada Exsim Lumba Kuda Sdn Bhd.
Causewayz Square merupakan pembangunan bertingkat tinggi ikonik yang terletak di tengah bandar Johor Bahru dan direka untuk menyokong gaya hidup rentas sempadan yang lancar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata di bawah pelan induk Causewayz Square, projek ini melibatkan pembinaan apartmen servis setinggi 63 tingkat yang merangkumi empat menara kediaman dengan jumlah keseluruhan 4,525 unit.
“Pembangunan tersebut akan dilaksanakan dalam lima fasa dan dilengkapi podium pelbagai tingkat yang menyediakan kemudahan tempat letak kereta, ruang runcit serta kemudahan gaya hidup.
“Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 34 bulan dari tarikh mula kerja, yang akan dimaklumkan oleh arkitek projek dalam masa terdekat,” menurut makluman tersebut.
Sementara itu Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata kontrak berskala besar itu merupakan yang terbesar pernah diperoleh oleh kumpulan setakat ini.
Menurut beliau, kejayaan tersebut mencerminkan kedudukan kukuh Binastra di pasaran Johor Bahru yang terus berkembang, disokong oleh permintaan kediaman yang berdaya tahan, peningkatan kesalinghubungan serta minat pelabur yang semakin kukuh di koridor selatan.
“Sebagai antara pemain awal di pasaran Johor Bahru, kami berbesar hati melihat komitmen jangka panjang kami diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
“Disokong oleh pasukan Johor yang berdedikasi, kami yakin mampu melaksanakan projek bertingkat tinggi berskala besar dan kompleks dengan disiplin dan lancar,” katanya.
Tambahnya, dengan perolehan kontrak terbaharu itu, jumlah buku pesanan belum dibilkan Binastra kini mencecah paras tertinggi iaitu RM5.8 bilion.
Ia sekali gus mencerminkan peluang berskala besar yang berjaya diraih oleh kumpulan sebagai kontraktor pilihan yang dipercayai.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Setakat ini, Binastra telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM3.4 bilion, meletakkannya di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran kontrak RM4.0 bilion bagi FY2026.
Binastra Corporation Berhad diasaskan pada 2 Oktober 2003 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 16 Ogos 2004 sebagai syarikat pegangan pelaburan.
Anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd, merupakan kontraktor pembinaan dengan lesen Gred 7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang membolehkannya melaksanakan projek pembinaan tanpa had nilai.
Pada 2025, kumpulan ini turut mengembangkan perniagaannya ke dalam sektor tenaga boleh baharu melalui Binastra Green Energy Sdn Bhd serta Binastra Atlantic Sdn Bhd, bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek tenaga hijau.
Selain itu, pemerolehan 51% pegangan dalam LF Lansen Sdn Bhd membolehkan Binastra memperluas perniagaan ke dalam penyelesaian kejuruteraan cekap tenaga, termasuk sistem penyimpanan tenaga haba, loji penyejukan daerah, tangki penimbal pusat data serta sistem pengudaraan dan penyaman udara bagi bangunan komersial dan industri. - DagangNews.com








