KUALA LUMPUR 16 Jan – Binastra Corporation Bhd mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, Binastra Green Energy Sdn Bhd, telah memeterai satu perjanjian tiga pihak berkaitan kontrak infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui (RE) bernilai RM305 juta, dengan Binastra Construction (M) Sdn Bhd mengambil alih peranan sebagai pelanggan projek tersebut.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata perjanjian yang ditandatangani pada 15 Januari 2026 melibatkan Bahru Stainless Sdn Bhd, iaitu pelanggan asal dan Binastra Construction (M).
Menurut Binastra, di bawah susunan berkenaan, Binastra Construction menggantikan Bahru Stainless sebagai pelanggan, manakala semua terma dan syarat kontrak kekal tidak berubah.
Kontrak yang dianugerahkan menerusi surat anugerah bertarikh 7 Oktober 2025 itu meliputi kerja reka bentuk dan pembinaan infrastruktur, termasuk kerja pembersihan tapak, kerja tanah serta kerja awam dan struktur.
Skop projek turut merangkumi pembangunan sistem solar fotovoltaik berkapasiti 65 megawatt-peak dan sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 200 megawatt-jam.
Binastra berkata, Binastra Construction akan mengambil alih sepenuhnya hak dan obligasi pelanggan asal sebagai pemilik aset serta pembiaya projek berkenaan.
Kumpulan itu turut memaklumkan kontrak tersebut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan berulang yang bersifat hasil atau perdagangan, dan mandat untuk melaksanakan transaksi sedemikian telah diperoleh daripada para pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan syarikat pada 3 Julai 2025.
Selain itu, Binastra mendedahkan pengarah urusan syarikat, Datuk Tan Kak Seng, merupakan pemegang saham utama dengan pegangan langsung sebanyak 11.09% dan pegangan tidak langsung 41.18% melalui JT Conglomerate Sdn Bhd. - DagangNews.com








