Alibaba Cloud bina dua lagi pusat data di Johor penuhi permintaan AI, perkhidmatan awan Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alibaba Cloud bina dua lagi pusat data di Johor penuhi permintaan AI, perkhidmatan awan Asia Tenggara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Syarikat teknologi global Alibaba Cloud terus memperkukuh kedudukannya di Malaysia menerusi pelancaran rantau  awan awam baharu di Johor yang melibatkan pembinaan dua pusat data  tambahan.

 

Langkah ini menjadikan jumlah keseluruhan fasiliti pusat data Alibaba Cloud di Malaysia meningkat kepada lima yang turut mengukuhkan kedudukan negara sebagai salah satu hab infrastruktur digital terpenting syarikat itu di Asia Tenggara.

 

Pelancaran ini adalah sebahagian daripada pelaburan global berjumlah AS$53 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, khusus untuk pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan  di peringkat antarabangsa.

 

Dengan pengembangan ini, rangkaian global Alibaba Cloud kini merangkumi 104 zon ketersediaan merentasi 32 rantau di seluruh dunia, memperkukuh keupayaan perkhidmatan digitalnya yang berskala besar.

 

Dua pusat data tambahan di Johor itu menawarkan rangkaian perkhidmatan awan menyeluruh termasuk pengkomputeran awan, penyimpanan data, rangkaian, keselamatan siber, pangkalan data serta analitik data.

 

Perkukuh Infrastruktur AI dan Perkhidmatan Awan di Malaysia serta Asia Tenggara

Menurut syarikat itu, pusat data ini direka untuk meningkatkan daya tahan sistem, mengurangkan kependaman (low latency) serta memperkukuh keupayaan pemulihan bencana bagi pelanggan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

 

Selain infrastruktur asas, Alibaba Cloud turut merancang memperkenalkan rangkaian perkhidmatan AI agent di Malaysia pada separuh kedua tahun ini bagi mempercepat penggunaan teknologi AI dalam segmen perniagaan.

 

Antara solusi yang akan diperkenalkan termasuk AgentRun (platform pembangunan ejen AI), STAROps (platform operasi pintar), ACS Agent Sandbox (persekitaran selamat untuk ejen AI), Agent Security Center (pusat keselamatan AI), AI Security Guardrails 2.0 (perlindungan keselamatan AI menyeluruh) serta Agentic SOC (pusat operasi keselamatan berasaskan AI).

 

Kesemua teknologi ini direka untuk membolehkan perniagaan membina, mengurus dan mengoperasikan sistem AI berskala besar dengan lebih selamat, cekap dan bersepadu dalam satu ekosistem digital.

 

Pelancaran rantau Johor ini juga dilihat sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi “Negara AI 2030” melalui pengukuhan infrastruktur digital yang lebih kukuh, berskala besar dan berasaskan teknologi masa depan.

 

Sokong Ke Arah Negara AI 2030

Sementara itu, Pengurus Besar Alibaba Cloud Malaysia, Choong Hon Keat berkata Malaysia kekal sebagai pasaran strategik utama di rantau Asia Tenggara bagi syarikat tersebut.

 

Beliau berkata peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan dan AI menjadi pemacu utama kepada peluasan infrastruktur ini bagi memastikan perkhidmatan lebih stabil, pantas dan selamat untuk pelanggan perusahaan.

 

Dalam masa yang sama, beberapa rakan strategik tempatan turut memanfaatkan teknologi Alibaba Cloud termasuk TNG Digital Sdn Bhd yang mengintegrasikan platform data awan untuk memperkukuh pengalaman pengguna aplikasi TNG eWallet.

 

Selain itu, YTL AI Labs turut memperkukuh pembangunan model bahasa Melayu melalui keluarga model ILMU serta aplikasi seperti Ryt AI, ILMUchat, ILMU Claw dan Platform API ILMU dengan sokongan infrastruktur AI daripada Alibaba Cloud.

 

Syarikat kreatif berasaskan AI seperti Morphyx.io dan TabSpace.ai pula menggunakan model penjanaan video seperti Wan2.7 dan HappyHorse melalui Model Studio, selain memanfaatkan model bahasa besar (LLM) Qwen untuk penjanaan skrip, terjemahan dan aliran kerja kreatif.

 

Pelancaran rantau awan baharu di Johor ini dijangka memperkukuh lagi ekosistem digital Malaysia, menjadikan negara sebagai pusat penting pembangunan AI, data dan inovasi teknologi di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com