Aizo menang kontrak RM14.55 juta kerja infrastruktur di Selangor | DagangNews Skip to main content

Aizo menang kontrak RM14.55 juta kerja infrastruktur di Selangor

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 Sept – Aizo Group Berhad yang dahulunya dikenali Minetech Resources Berhad, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Minetech Construction Sdn. Bhd. (MCSB) telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Richmont Estate Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali Panca Resmi Sdn Bhd) untuk menjalankan kerja-kerja infrastruktur luaran bagi projek di Serendah, Hulu Selangor, Selangor bernilai RM14.55 juta.

 

Projek ini akan melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja infrastruktur luaran untuk pembangunan, kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kontrak ini dijangka akan bermula pada 26 Ogos 2024 dengan tarikh siap ditetapkan pada 25 Ogos 2025, dengan Aizo menyelia semua kerja infrastruktur luaran untuk memastikan penyiapan tepat pada masanya mengikut piawaian tertinggi.

 

Pemberian kontrak ini mengukuhkan lagi portfolio pembinaan Aizo dan menekankan keupayaannya dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.

 

Ahmad Rahizal Dato' Ahmad Rasidi
         Ahmad Rahizal Dato' Ahmad Rasidi

 

 

Pengarah Eksekutif Aizo, Ahmad Rahizal Dato' Ahmad Rasidi berkata, pihaknya berbesar hati memperoleh kontrak ini daripada Richmont, satu peristiwa penting yang sejajar dengan identiti syarikat yang baru dijenamakan semula sebagai Aizo Group Berhad.

 

"Ini adalah bukti dedikasi kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pemegang kepentingan kami dan meningkatkan kehadiran kami dalam sektor ini.

 

"Projek ini juga mengesahkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam industri pembinaan, dan kami yakin ia akan meningkatkan kehadiran kami dalam sektor infrastruktur,” kata beliau.

 

Ketika pasaran ditutup 5 petang hari ini, jumlah saiz buku pesanan Aizo berjumlah RM265.77 juta, di mana harga saham syarikat ditutup pada 13 sesaham, mewakili modal pasaran RM241 juta. - DagangNews.com