Airbus tegaskan komitmen jangka panjang di Malaysia sebagai pembekal terbesar di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Airbus tegaskan komitmen jangka panjang di Malaysia sebagai pembekal terbesar di Asia Tenggara

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – Airbus menegaskan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik bagi perniagaan pesawat komersial, pertahanan dan angkasa lepas, dengan negara ini kini muncul sebagai pangkalan pembekal terbesar Airbus di Asia Tenggara.

 

Ketua Asia Pasifik Airbus Defence and Space, Zakir Hamid berkata, Malaysia menyumbang nilai perolehan dianggarkan RM1.5 bilion setahun kepada Airbus, selain menyokong kira-kira 5,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung dalam rantaian industri aeroangkasa tempatan.

 

Menurutnya, kerjasama industri Airbus di Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada program pesawat komersial, malah meliputi sektor pertahanan dan angkasa lepas, yang memberi manfaat besar dari segi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta pengukuhan keupayaan pertahanan strategik negara.

 

“Apa yang menjadikan kerjasama ini unik ialah keluasan skopnya yang merangkumi pemodenan armada, kerjasama pertahanan, penyertaan industri tempatan serta pembangunan bakat dan kemahiran,” katanya dalam kenyataan sempena penyertaan Airbus pada pameran berhubung Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Baharu di Kuala Lumpur.

 

Zakir berkata, Airbus kekal komited untuk terus mengembangkan jejak industrinya di Malaysia, khususnya menerusi Program Kerjasama Industri dalam sektor pertahanan dan angkasa lepas.

 

AIRBUS

 

Malaysia ketika ini menjadi pangkalan pembekal terbesar Airbus di Asia Tenggara, dengan syarikat tempatan seperti CTRM, UPECA dan SME Aerospace membekalkan komponen bagi keseluruhan rangkaian pesawat awam Airbus, termasuk pesawat pengangkut tentera A400M serta helikopter H130.

 

Komponen buatan Malaysia kini digunakan pada hampir setiap pesawat Airbus yang sedang dihasilkan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.

 

Dalam segmen penerbangan komersial, lebih 300 pesawat Airbus kini beroperasi bersama syarikat penerbangan Malaysia, manakala hampir 400 lagi berada dalam tempahan. 

 

AirAsia merupakan antara pengendali utama keluarga A320 dan A330, manakala Malaysia Airlines mengendalikan armada badan lebar sepenuhnya Airbus termasuk A330neo dan A350.

 

Bagi sektor pertahanan, Zakir berkata, program A400M menjadi tonggak utama kerjasama Airbus dengan Malaysia, yang merupakan pelanggan eksport pertama pesawat itu di dunia. Pada 2025, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatatkan sedekad operasi A400M dengan lebih 14,000 jam penerbangan, menjadikannya pengendali A400M paling aktif di peringkat global.

 

Dalam domain angkasa lepas pula, Airbus telah menyerahkan satelit MEASAT-3b dan MEASAT-3d bagi menyokong operasi MEASAT di Malaysia, Asia, Asia Barat dan Afrika, selain mengekalkan penguasaan penuh pasaran sistem pemantauan pantai STYRIS di Malaysia sejak lebih 15 tahun lalu.

 

Sementara itu, Airbus Helicopters menyediakan latihan serta sokongan pelanggan dari fasilitinya di Subang, termasuk pusat simulasi canggih untuk latihan juruterbang dan teknikal. Sebuah simulator H175 baharu juga dijangka memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serantau.

 

Ketika ini, hampir 90 helikopter awam dan ketenteraan Airbus beroperasi di Malaysia, merangkumi perkhidmatan oleh TUDM, Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Di samping itu, Airbus turut memperluas aktiviti penyelidikan dan teknologi menerusi Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) yang menjalankan projek penyelidikan bersama industri serta universiti tempatan, sekali gus membuka laluan jelas daripada penyelidikan ke pasaran dan memperkukuh ekosistem aeroangkasa negara. - DagangNews.com