AirBorneo rasmi guna kod penerbangan MY, capai kebebasan operasi penuh di 21 lapangan terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo rasmi guna kod penerbangan MY, capai kebebasan operasi penuh di 21 lapangan terbang

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – Semua penerbangan AirBorneo yang sebelum ini beroperasi di bawah penetapan siri MH kini secara rasmi menggunakan kod penerbangan MY.

 

Langkah ini sekali gus mengukuhkan identiti berasingan syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak di kesemua 21 lapangan terbang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

AirBorneo berkata, peralihan tersebut menandakan kejayaan pelaksanaan penuh Sistem Kawalan Pelepasan (DCS) serta permulaan operasi di bawah kod penerbangan sendiri, MY, yang merupakan satu pencapaian kritikal dalam peralihan syarikat ke arah kebebasan operasi sepenuhnya.

 

 

 

 

 

Menurut AirBorneo, penerbangan pertama menggunakan kod MY ialah dari Miri ke Labuan pada jam 6.15 pagi, Rabu, 14 Januari 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, kejayaan peralihan DCS dan pengenalan Penerbangan MY3220 sebagai perkhidmatan pertama di bawah kod MY membuktikan keupayaan kepimpinan bersepadu serta visi bersama semua pihak terlibat.

 

Beliau merakamkan penghargaan kepada kementerian pengangkutan Sarawak dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Aviation Group (MAG) atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang proses peralihan tersebut.

 

“Pencapaian ini juga meletakkan asas penting untuk fasa seterusnya AirBorneo, iaitu pelancaran Operasi Jet AirBorneo pada Julai, yang akan memperkukuh infrastruktur kami, memperluaskan rangkaian perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang,” katanya.

 

Menurut AirBorneo, peralihan DCS itu merupakan antara pencapaian operasi paling signifikan sejak syarikat memulakan operasi pada 2 Januari.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, migrasi DCS yang berjaya membolehkannya beroperasi dengan autonomi teknikal sepenuhnya, tanpa lagi bergantung kepada sistem MASwings.

 

“Operasi kaunter daftar masuk lapangan terbang, pengendalian bagasi serta semua perkhidmatan berkaitan penumpang berjalan seperti biasa sepanjang tempoh peralihan, dengan penyelarasan rapi melibatkan pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan utama,” katanya.

 

 

 

 

AirBorneo turut menegaskan pelaksanaan serentak di 21 lapangan terbang termasuk operasi pesawat Twin Otter ke landasan udara terpencil, mencerminkan tahap kesiapsiagaan operasi serta keupayaan teknikal syarikat.

 

Selain itu, peralihan ini turut mewujudkan infrastruktur kritikal bagi pelan pengembangan AirBorneo pada 2026, termasuk perancangan operasi jet serta pelancaran laluan serantau dan antarabangsa yang dijadualkan bermula pertengahan 2026. - DagangNews.com