AGX Group raih kontrak logistik Malaysia Airlines selama tiga tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGX Group raih kontrak logistik Malaysia Airlines selama tiga tahun

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – AGX Group Berhad mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, AGX Logistics (M) Sdn Bhd dianugerahkan tender oleh Malaysia Airlines Bhd (MAS) bagi penyediaan Perkhidmatan Penghantaran Kargo Udara dan Perkhidmatan Broker Kastam.

 

Penyedia rumusan logistik pihak ketiga itu berkata, perjanjian tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan penghantaran kargo udara dan laut serta broker kastam bagi penghantaran pelbagai alat ganti pesawat dan barangan lain yang berkaitan dengan operasi MAS.

 

Menurut AGX dalam satu kenyataan hari ini, perjanjian tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa dari 1 Disember 2025 hingga 30 November 2028.

 

Sepanjang tempoh itu, AGX akan menyediakan perkhidmatan secara berterusan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi penghantaran yang dilabel sebagai Pesawat tidak beroperasi di darat (AOG).

 

AGX berkata, ketika MAS meneruskan usaha memodenkan armada dan meningkatkan kecekapan operasi, syarikat penerbangan nasional itu bergantung kepada rakan strategik dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta logistik bagi menyokong keperluan prestasi dan pematuhan operasinya.

 

MAS mengendalikan rangkaian penerbangan domestik, serantau dan jarak jauh merangkumi Asia, Eropah dan Pasifik, selain dikenali sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh premium dan ahli pakatan penerbangan Oneworld, dengan reputasi kukuh dari segi keselamatan, kualiti perkhidmatan dan kecemerlangan operasi.

 

Menurut AGX, pelantikan ini sejajar dengan fokus MAS untuk memperkukuh kesiapsiagaan armada dan prestasi operasi keseluruhan.

 

Anugerah kontrak itu juga hadir ketika sektor MRO di Asia Pasifik khususnya Asia Tenggara, mencatat pertumbuhan kukuh. 

 

Berdasarkan laporan MRO Pesawat Komersial Asia Tenggara – Analisis Bahagian Pasaran, Trend & Statistik Industri, Ramalan Pertumbuhan (2025–2030) oleh Mordor Intelligence bertarikh 18 Mac 2025, segmen MRO pesawat komersial diunjurkan berkembang daripada AS$ 4.20 bilion pada 2025 kepada AS$ 7.23 bilion menjelang 2030, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 11.5%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX, Datuk Ponnudorai A/L Periasamy berkata, anugerah kontrak daripada MAS itu mengukuhkan lagi kedudukan AGX dalam sektor logistik penerbangan.

 

“Anugerah daripada MAS ini memperluaskan portfolio kami dan mengukuhkan kedudukan AGX sebagai penyedia penyelesaian logistik pihak ketiga kepada sektor penerbangan,” katanya.

 

Beliau berkata, kejayaan anak syarikat AGX di Vietnam yang memperoleh perjanjian perkhidmatan dengan VietJet dan Sun PhuQuoc Airways turut menandakan kemasukan strategik kumpulan itu ke dalam sektor logistik penerbangan Vietnam.

 

Menurut beliau, pasaran logistik dijangka berkembang seiring dengan industri MRO, dipacu oleh pertambahan saiz armada, rantaian bekalan yang semakin kompleks serta keperluan penghantaran tepat pada masanya bagi komponen pesawat bernilai tinggi.

 

“Dengan faktor makro seperti peningkatan keterhubungan serantau, pemulihan perjalanan udara dan pengembangan armada berterusan di seluruh ASEAN, permintaan terhadap perkhidmatan ini akan terus meningkat,” katanya.

 

AGX berkata, melalui perjanjian perkhidmatan bersama MAS itu, kumpulan berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang daripada pengembangan industri berkenaan dengan memanfaatkan kepakaran logistik dan rangkaian globalnya bagi menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi selaras dengan keperluan MAS dan piawaian antarabangsa.

 

Menurut AGX, kontrak tersebut turut menyokong strategi jangka panjang kumpulan serta mengukuhkan peranannya dalam ekosistem logistik serantau. - DagangNews.com