18 institusi perbankan sertai Sandbox Fasa 2 MyDigital ID, sasar pelaksanaan lebih meluas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

18 institusi perbankan sertai Sandbox Fasa 2 MyDigital ID, sasar pelaksanaan lebih meluas

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – Sebanyak 18 institusi perbankan telah mengesahkan penyertaan dalam Sandbox Fasa 2 bagi integrasi berperingkat dan teratur MyDigital ID ke dalam sektor kewangan, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

 

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Sandbox Fasa 2 yang sedang berlangsung bertujuan menguji teknologi baharu MyDigital ID menerusi Pengesahan elektronik, iaitu mekanisme pengesahan identiti pengguna semasa pembukaan akaun baharu serta pelaksanaan transaksi perbankan masa nyata yang selamat.

 

Kerajaan melalui MyDigital ID Sdn Bhd (MyDID) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bertanggungjawab melaksanakan integrasi MyDigital ID dengan pendekatan keselamatan secara reka bentuk, perlindungan privasi serta tadbir urus yang boleh diaudit bagi memastikan sistem yang kukuh dan dipercayai sebelum digunakan secara menyeluruh.

 

“Sepuluh daripada 18 institusi perbankan kini berada dalam proses integrasi, manakala dua bank telah melengkapkan integrasi sepenuhnya.

 

“Sandbox Fasa 2 ini dijangka berakhir pada Mac 2026 dan seterusnya bersedia untuk memasuki fasa pelaksanaan yang lebih meluas, tertakluk kepada keputusan serta tahap kesiapsiagaan institusi perbankan masing-masing,” kata MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan hari ini di laman web rasmi Parlimen.

 

MOF menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung tahap kesiapsiagaan bank dan penyedia perkhidmatan kewangan dalam integrasi MyDigital ID khususnya dari aspek pensijilan keselamatan, pematuhan data peribadi dan piawaian audit.

 

Dalam pada itu, MOF memaklumkan 15 institusi perbankan telah menyertai Sandbox Fasa 1, yang berakhir pada Jun 2025, dengan enam bank berjaya melengkapkan integrasi, manakala lapan institusi menjalankan ujian electronic Know Your Customer (e-KYC).

 

E-KYC merupakan proses pengesahan identiti pelanggan secara elektronik bagi mencegah penipuan dan penyalahgunaan sistem kewangan.

 

MOF menegaskan kerajaan, melalui BNM, perlu memastikan semua bank dan penyedia perkhidmatan kewangan mencapai tahap kesiapsiagaan dan keselamatan yang tinggi sebelum integrasi penuh MyDigital ID dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh ekosistem kewangan negara. - DagangNews.com