Shahidan, Ismail berdepan tindakan tatatertib UMNO - Mahdzir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shahidan, Ismail berdepan tindakan tatatertib UMNO - Mahdzir

KUALA NERANG 4 Nov - Lembaga Tatatertib UMNO akan mengambil tindakan terhadap dua pemimpinnya yang memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini berikutan tindakan yang dilakukan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim dan penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib jelas melanggar perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN), lapor Berita Harian.

 

Katanya, beliau turut berasa kecewa dengan tindakan dua pemimpin terbabit.

 

"Kepada rakan-rakan kita sudah tentulah ada peraturan yang disediakan oleh parti itu kita, semua orang tahu peraturan-peraturan yang terkandung ataupun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada BN.

 

"Kita sekarang ini sedang menghadapi pilihan raya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini sebab kita adalah ahli parti dalam komponen BN (memang jelas melanggari) ya lah (dikenakan tatatertib)," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Persembahan Wayang Kulit oleh Masyarakat Siam di Padang Terap, malam tadi.

 

Pada PRU14 lalu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menang di Parlimen Arau dengan majoriti 4,856 selepas mengalahkan Datuk Dr Abd Rahman Daud (PKR) dan Hashim Jasin (PAS).

 

 

mahdzir
                                                         Datuk Seri Mahdzir Khalid

 

 

shahidan
                                                                    Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

 

 

mail
                                                         Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib

 

 

Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang di Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (PAS) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR).

 

Bagaimanapun, pada PRU15, nama mereka digugurkan dan digantikan oleh Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau, manakala Datuk Seri Shahaniza Shamsudin pula di Parlimen Maran. - DagangNews.com