Ringgit stabil berbanding rakan dagang utama - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit stabil berbanding rakan dagang utama - BNM

KUALA LUMPUR 26 Julai - Ringgit secara relatif kekal stabil jika dibandingkan dengan mata wang rakan dagang utama Malaysia  manakala kadar pertukaran efektif nominal negara mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.1%.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, indeks dolar meningkat sebanyak 11.5% tahun ini, tertinggi dalam tempoh dua dekad, dan kebanyakan mata wang serantau,
termasuk ringgit, mencatatkan penurunan nilai berbanding dolar.

 

“Pemulihan ekonomi Malaysia berjalan dengan baik, dan pada masa sama, bank akan terus menggunakan instrumen yang kami ada untuk memastikan pergerakan ringgit teratur dalam pengetatan dasar monetari  yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2022, seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagi Malaysia membina daya tahannya terhadap krisis masa depan untuk memaksimumkan potensi penuh negara.

 

“Kita perlu menangani kelemahan jangka panjang dan mengukuhkan daya tahan kita terhadap kejutan masa depan, selain menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan kerumitan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan yang berkualiti untuk Malaysia,” jelasnya.

 

Mengenai jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, menurut Nor Shamsiah, jenayah kewangan yang dilaporkan semasa pandemik meningkat dengan ketara berikutan penjenayah mengeksploitasi keadaan yang wujud daripada berkaitan kemelesetan ekonomi.

 

“Jenayah kewangan mempunyai impak langsung dan penting terhadap prospek ekonomi dan kita kini berada di sempadan pematuhan baharu. Perjuangan menentang jenayah kewangan merupakan perjuangan dalam pelbagai bidang.

 

“Kejayaan kita memerlukan semua pihak, sektor swasta, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan kerajaan lain serta pengguna, untuk menjalankan peranan mereka dan menyesuaikan diri dengan ancaman baharu ini, mentransformasikan diri mereka untuk menangani cabaran ini dan bekerjasama untuk melindungi integriti sistem kewangan negara kita,” katanya. - DagangNews.com