PRU15: Tiada istilah menang mudah di Parlimen Bera - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRU15: Tiada istilah menang mudah di Parlimen Bera - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan kepada pengamal media pada hari penamaan calon PRU15 di Laman Kerayong, Bera pada 5 November 2022 - Gambar BERNAMA

BERA 5 Nov - Tiada istilah ‘menang mudah’ buat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun beliau berdepan dengan dua pencabar baharu dalam usaha memastikan Parlimen Bera kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

 

Ismail Sabri yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Asmawi Harun dan calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang berkata beliau tidak boleh boleh mengambil mudah cabaran pihak lawan, selain perlu memastikan kemenangan BN bukan hanya di Bera, namun di seluruh negara bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan. 

 

“Walaupun saya yakin boleh menang di Parlimen Bera, namun jentera BN di sini serta semua kawasan seluruh negara tidak boleh ambil mudah. Fokus sekarang adalah saya menang di Bera dan BN juga menang dan boleh membentuk kerajaan. Itu yang lebih penting.

 

“Kalau saya menang di Bera (tetapi) parti kalah seperti Pilihan Raya Umum ke-14, tidak ada makna... Jadi parti mesti menang dan menguasai kerajaan,” kata beliau, lapor Bernama.

 

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas diumumkan sebagai calon yang sah bertanding bagi Parlimen Bera di pusat penamaan calon Dewan Konvesyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.

 

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif turut mengumumkan calon-calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Teriang dan Kemayan di bawah Parlimen Bera. - DagangNews.com