PRU15: Tengku Zafrul berdepan saingan 4 penjuru di Kuala Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PRU15: Tengku Zafrul berdepan saingan 4 penjuru di Kuala Selangor

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA SELANGOR 5 Nov - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berdepan saingan empat penjuru di Parlimen Kuala Selangor termasuk daripada penyandang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Tengku Zafrul, 49, kali pertama bertanding dalam pilihan raya mewakili Barisan Nasional (BN), lapor Berita Harian.

 

Beliau dicabar penyandang, Dr Dzulkefly, 66, yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH).

 

Turut bertanding adalah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Shaid Rosli dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).

 

Bagaimanapun, R Loganathan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang sebelum ini mengesahkan mahu bertanding di Parlimen itu tidak hadir menghantar borang pencalonan.

 

Pengumuman rasmi pencalonan mereka itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Selangor, Rahilah Rahmat di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

 

Kira-kira 500 penyokong parti yang bertanding berkumpul di pekarangan stadium sejak jam 8 pagi.

 

 

zafrul

 

 

Dr Dzulkefly memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 8,498 undi sekali gus merampas semula kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU12.

 

Beliau tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) pada PRU13. - DagangNews.com