BAGAN DATUK 5 Nov - UMNO bertindak memecat tiga pemimpin parti itu kerana bertanding atas keputusan sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding di Parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN), manakala Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib di Parlimen Maran.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula bertanding di Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi sebagai calon.
Shahidan, Ismail dan Zahidi antara 10 pemimpin UMNO yang tidak dicalonkan mempertahankan kerusi parlimen masing-masing.
Pemecatan serta merta itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.
Katanya, ahli parti yang terlibat sebagai pencadang dan penyokong dalam proses penamaan calon ketiga-tiga pemimpin tersebut turut berdepan tindakan sama.
"Mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan menjadi calon parti lawan boleh dipecat mengikut Perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).



"Ia adalah perkara biasa berdasarkan tata cara dalam UMNO dan BN," katanya.
Susulan itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu hari ini. - DagangNews.com


