PRU15: Proses pengundian awal paling sistematik - Ketua Polis Negara | DagangNews Skip to main content

PRU15: Proses pengundian awal paling sistematik - Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menunaikan kewajipan pada hari pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bukit Aman hari ini. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR 15 Nov - Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara hari ini disifatkan paling sistematik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. 

 

Beliau yang selesai mengundi di Bukit Aman pukul 10.20 pagi berkata, berdasarkan laporan daripada 970 saluran melibatkan 578 tempat pengundian seluruh negara yang diterimanya, beliau mendapati proses mengundi dalam keadaan teratur. 

 

"Daripada apa yang saya terima maklum balas daripada pihak pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka menyatakan bahawa proses undi awal pada tahun ini merupakan antara proses yang paling sistematik dan berjalan dengan lancar dan kita harap ia dapat membantu untuk menyelesaikan proses undi awal mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai mengundi di sini hari ini. 

 

Beliau juga berkata seramai 6,423 warga Bukit Aman terlibat dalam proses pengundian awal di 15 saluran yang mula dibuka 8 pagi, Bernama melaporkan.

 

Sementara itu, Acryl Sani turut menyeru pegawai dan anggota polis untuk menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi. 

 

"Selaras dengan asas demokrasi untuk kita memilih pemimpin yang akan membentuk kerajaan, saya percaya setiap pegawai dan anggota telah pun mempunyai pandangan, pengetahuan tertentu dalam membantu mereka membuat pilihan tepat (untuk) memastikan negara agar sentiasa kuat, stabil dan kukuh bukan sahaja keselamatan bahkan juga ketenteraman dan ekonomi, " katanya. 

 

Selain Acryl Sani, antara pegawai polis yang selesai mengundi awal ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Seri Azri Ahmad . 

 

Berdasarkan warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Okt 2022 yang dimuat naik di laman web SPR, pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.

 

Turut diadakan serentak ialah pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19. - DagangNews.com