PRU15: PM ingatkan warga Felda jangan 'dipatuk ular dua kali' pilih PH | DagangNews Skip to main content

PRU15: PM ingatkan warga Felda jangan 'dipatuk ular dua kali' pilih PH

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) hadir ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di Sungai Siput, Perak pada 15 November 2022. - Gambar BERNAMA

SUNGAI SIPUT 15 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan warga Felda agar bijak memilih dengan mengundi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini yang terbukti sejak dahulu sentiasa menjaga kebajikan dan kedudukan mereka di tahap istimewa serta akan berterusan dijaga.

 

Perdana Menteri berkata, untuk itu warga Felda diminta membandingkan nasib mereka sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 dengan semasa pentadbiran negara diterajui BN agar tidak 'dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali', lapor Berita Harian.

 

"Bagi saya kena (patuk ular) sekali sudahlah, jangan sesudah dipatuk ular kemudian tak sedar lagi masih ada ular di lubang yang sama lalu menghulurkan kaki kepadanya. Kita tahu sudah pernah kena tipu, (jadi) kenapa kali kedua pun hendak kena tipu lagi?

 

"Selama ini yang menjaga kepentingan kita (peneroka Felda) adalah kerajaan diterajui BN, lalu selepas itu apabila 22 bulan PH yang tidak ada pengalaman, memerintah akhirnya huru-hara seluruh Malaysia dan apa yang (peneroka) Felda dapat daripada PH?" katanya ketika berucap di hadapan peneroka Felda dalam Majlis Ramah Mesra bersama Keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti Felda Lasah, di sini hari ini.

 

Hadir sama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta calon mewakili BN dalam PRU15 bagi Parlimen Sungai Siput serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tan Sri SA Vigneswaran (Parlimen), Datuk Mohd Zolkafly Harun (DUN Lintang) dan Pan Chean Chang (DUN Jalong).

 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pentadbiran PH sepanjang 22 bulan menerajui negara menyaksikan harga komoditi sawit jatuh merudum dalam sejarah selain menyaksikan negara India selaku antara pengimport terbesar minyak sawit dari Malaysia menghentikan pembelian minyak sawit dari negara ini yang seterusnya merugikan peneroka Felda.

 

"Waktu itu bila (kerajaan) tidak tahu apa hendak dibuat, maka menteri yang berkenaan suruh rakyat minum minyak sawit untuk tingkatkan kembali harganya. Itu sahaja idea dia yang mana disebabkan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ketika itu bergaduh dengan negara India, akhirnya peneroka yang jadi mangsa.

 

"Jadi kita (peneroka Felda) jangan cari azab, sebaliknya dalam hidup ini carilah yang senang, iaitu kerajaan BN dapat beri kesenangan. Kesenangan bukan sahaja untuk kita, tetapi turut meliputi kepada generasi kedua dan ketiga FELDA yang akan kerajaan jaga," katanya.

 

Dalam ucapan sama, Ismail Sabri turut mengumumkan insentif khas kepada 70 peneroka di Felda Lasah yang kebun mereka rosak akibat serangan gajah melalui penghapusan nilai hutang sebanyak RM1.8 juta khusus disebabkan serangan haiwan itu.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihaknya yakin peneroka Felda masih lagi dapat dianggap sebagai simpanan tetap atau 'deposit' tetap BN berikutan kerajaan tidak hanya menjaga peneroka generasi pertama, malah turut meliputi generasi kedua serta generasi ketiga melalui pelbagai insentif. 

 

"Memang betul warga Felda adalah 'anak emas' kerajaan dan walaupun pada asalnya rancangan awal penubuhan Felda adalah khusus kepada generasi pertama ketika itu, tetapi kini tumpuan Felda juga terarah kepada generasi kedua dan saya percaya selepas ini generasi ketiga pun akan terus dijaga kerajaan.

 

"Saya amat berterima kasih kepada peneroka kerana peneroka adalah penyokong setia dan penyokong kuat kerajaan BN, serta saya yakin sokongan kepada kerajaan ini akan terus kekal dalam setiap pilihan raya mendatang," katanya. - DagangNews.com