PM sifatkan penyokong setia parti tonggak kekuatan BN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM sifatkan penyokong setia parti tonggak kekuatan BN

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 11 Nov - Barisan Nasional (BN) tidak pernah melupakan perjuangan penyokong setia parti itu, malah menyifatkan mereka adalah kekuatan terhadap kelangsungannya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, perjuangan BN bukan disebabkan soal individu, sebaliknya parti itu terus ‘hidup’ kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong.

 

Tegasnya, sokongan diberikan itu umpama ‘setiap peluh dan keringat yang tidak pernah lelah’ walau apa jua cabaran dihadapi.

 

Justeru, beliau mengingatkan semua penyokong BN bahawa kini bukan masanya untuk berpecah belah, protes dan boikot.

 

Perdana Menteri berkata, nilai sokongan itu tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

 

“Ingatlah setiap daripada wajah yang sudah bersama kita. BN mesti menang! Sepanjang kempen pilihan raya kali ini, saya banyak bertemu kembali kenalan dan penyokong setia saya serta BN, sejak saya mula menceburi politik.

 

“Saya melihat jerit perih akar umbi yang menggantung bendera, menunggu di pondok panas dan menyediakan juadah kepada jentera secara rewang, semuanya atas nama ‘kesetiaan’.

 

 

pm

 

 

“Hari ini saya bertemu penyokong veteran UMNO, Hamid, Bakar dan Ahmad di Felda Sebertak. Mereka yang berusia lebih 70 tahun, sanggup datang program seawal pagi dan menyapa saya, bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Getaran.

 

Ismail Sabri berkata, sokongan diberikan itu harus dihargai.

 

“Inilah penghargaan yang perlu beri semula kepada penyokong dan pengundi kita dengan khidmat bakti terbaik buat mereka,” katanya.

 

Menerusi hantaran sama, Ismail Sabri memuat naik video pertemuan dan ramah mesra beliau bersama penyokong veteran parti itu ketika mengadakan kempen di Felda Sebertak, Triang, Bera, Pahang, baru-baru ini.

 

Video berdurasi 29 saat berlatar belakangkan lagu nyanyian Lovehunters bertajuk Sambutlah Kasih itu mengundang sebak pengikut platform media sosial berkenaan, selain memuji sikap mesra rakyat, merendah diri dan menghargai pengundi dimiliki Perdana Menteri.

 

“Allahuakbar, hiba hati saya, bila melihat Datuk Seri mesra dengan rakyat…Ya Allah…Datuk Seri seorang pemimpin berjiwa rakyat…Teruskan usaha Datuk Seri…Saya berharap kita orang Melayu janganlah berpecah...Saya sokong Datuk Seri dan teruskan perjuangan Datuk Seri...Amin,” kata Norseriwati Aziz.

 

“Terbaik Datuk Seri seorang pemimpin berjiwa rakyat,” tulis Asazura Zura.

 

“Terbaik, Insya Allah BN di bawah pimpinan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri) akan terus maju ke hadapan demi membantu rakyat, pemimpin berjiwa rakyat  #KeluargaMalaysiaTeguhBersama,” komen Mohd Azwan Jalil.

 

“Terbaik...Setia kasih menghargai orang lama,” tulis Zaly Mohd. - DagangNews.com