Pharmaniaga mempunyai lebih 3.6 juta dos vaksin iaitu 2.6 juta yang dikilangkan secara 'fill and finish' dan 1 juta lagi diterima secara siap guna dari kilang Sinovac di China bagi pengeluaran Mei ini. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Tumpuan Pharmaniaga Bhd. terhadap bekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 akan terus memacu prestasi kewangan yang positif kepada kumpulan.
Ini berdasarkan kepada keuntungan bersih Pharmaniaga bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat kepada RM23.14 juta daripada RM22.40 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Penganalisis CGS-CIMB, Syazwan Aiman SOBRI berkata, proses 'fill and finish' daripada vaksin COVID-19 Sinovac dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan mulai suku kedua tahun ini dan seterusnya.
"Kami dapati Pharmaniaga mengeluarkan 1.28 juta vaksin yang telah siap pada 10 Mei 2021 dengan 290,480 dos yang mendapat kelulusan Agensi Pengawalseliaan Farmasetiukal Kebangsaan (NPRA) untuk diagihkan kepada fasiliti kesihatan yang ditetapkan pada 11 Mei 2021.
"Kapasiti pengeluaran syarikat ketika ini sebanyak 2 juta dos sebulan dan ia merancang untuk meningkatkannya kepada 4 juta dos sebulan menjelang Ogos ini sementara menunggu kelulusan 2 dos botol oleh pihak berkuasa pengawalselia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi suku pertama itu, pendapatan Pharmaniaga bagaimanapun menurun kepada RM793.50 juta daripada RM819.92 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata di tengah-tengah cabaran akibat daripada pandemik COVID-19 yang dijangka berlarutan dengan munculnya gelombang kes baharu di seluruh dunia, Pharmaniaga menumpukan kepada bekalan dan pengedaran vaksin COVID-19.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Pharmaniaga akan membekalkan kira-kira 8.2 juta dos vaksin Sinovac dari China kepada kerajaan pada bulan ini dan Jun, ke arah mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Pharmaniaga mempunyai lebih 3.6 juta dos vaksin iaitu 2.6 juta yang dikilangkan secara 'fill and finish' dan 1 juta lagi diterima secara siap guna dari kilang Sinovac di China bagi pengeluaran Mei ini.
CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Pharmaniaga dengan tiada perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan.
Harga sasaran (TP) juga kekal pada RM4.60 sesaham dengan 15% premium dengan mengambil kira prospek pendapatan yang kukuh hasil menerusi vaksin COVID-19 dan perkembangan pengeluaran vaksin di peringkat tempatan untuk tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun, Syazwan Aiman berkata, faktor yang menjadi penilaian penarafan semula dan risiko penurunan bergantung kepada proses 'fill and finish' bagi vaksin COVID-19 Sinovac dan margin perniagaan konsesi sama ada lebih baik atau rendah berbanding jangkaan.
Sementara itu, Kenanga Research juga mengekalkan TP Pharmaniaga pada RM2.50 yang mana harga sahamnya melonjak sejak suku ketiga 2020 ekoran khabar angin pasaran ketika itu bahawa syarikat akan dipilih sebagai pembotol bagi vaksin COVID-19.
Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, ini secara tidak langsung menyebabkan penilaian semasa yang kurang menarik kerana meletakkan harga yang tinggi bagi prospek jangka pendek.
Menurut beliau, perjanjian pembelian antara Pharmaniaga dan Sinovac Life Sciences Company Limited, secara tidak langsung turut mempengaruhi harga sahamnya.
Namun, pengagihan vaksin Sinovac ini yang dijangka memberi impak pada suku kedua 2021 bagaimanapun tidak berapa jelas sejauh mana kesannya kepada pendapatan kumpulan.
"Ini memandangkan kerajaan mungkin mahu melihat ia dapat diagihkan pada harga yang kompetitif," katanya.
Firma itu menganggarkan, bagi 12 juta dos, dengan harga AS$13.60 setiap dos dan margin untung bersih pada 2% yang menyumbang kepada untung bersih kira-kira RM13 juta untuk tempoh 2 tahun akan datang, kesannya kepada keuntungan bersih diunjur mencecah hampir 14% bagi tahun kewangan 2021 dan 2022. - DagangNews.com








