Peminat bola sepak Malaysia boleh saksikan Liga Arab Saudi melalui SPOTV bermula 12 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

Peminat bola sepak Malaysia boleh saksikan Liga Arab Saudi melalui SPOTV bermula 12 Ogos ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - SPOTV mempersembahkan Roshn Saudi League kepada peminat bola sepak untuk dua musim, selepas memeterai kerjasama dengan liga tersebut bagi hak penyiaran di Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Filipina, Singapura, Korea Selatan and Thailand.

 

Platform penstriman sukan itu berkata, di Malaysia, sebanyak 102 perlawanan musim 2023/23 akan mula disiarkan hujung minggu ini pada 12 Ogos, pukul 2 pagi waktu tempatan. 

 

Katanya, penonton boleh menyaksikan tiga perlawanan setiap minggu secara langsung, di saluran SPOTV dan juga aplikasi SPOTV NOW. 

 

"Pelanggan Premium SPOTV NOW boleh strim perlawanan secara langsung di telefon bimbit atau laman web. Selain itu, saluran SPOTV boleh didapati di Astro dan Unifi TV.

 

"Ini satu berita hebat untuk platform kami bagi liga yang sedang menjalankan musim perpindahan pemain secara aktif dengan kehadiran pemain-pemain bintang ke kelab-kelab ternama seperti Al Nassr, Al Hilal, Al Ahli dan Al Ittihad," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Liga ini menampilkan bintang-bintang seperti Cristiano Ronaldo, perpindahan baharu bekas bintang Real Madrid, Karim Benzema, bekas pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante, pertahanan, Kalidou Koulibaly dan penjaga gol, Edouard Mendy.

 

Selain itu, ia termasuk bekas penyerang Liverpool, Roberto Firmino dan pemain tengah, Fabinho, bekas pemain tengah Inter Milan, Marcelo Brozovic, bekas pertahanan Manchester United, Alex Telles, bekas penyerang Manchester City, Riyad Mahrez, bekas penyerang Bayern Munich, Sadio Mane, dan bekas penyerang Newcastle United, Allan Saint-Maximin dan ramai lagi masih dalam perbincangan.

 

 

spotv

 

 

Roshn Saudi League adalah salah satu liga bola sepak yang dinantikan musim ini yang mana peminat bola sepak di seluruh dunia bakal menantikan aksi bintang-bintang bola sepak ini yang bakal beraksi di arena baharu.

 

 

spotv

 

 

"Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti aksi secara langsung dengan lebih dekat, di mana-mana dan pada bila-bila masa di SPOTV," katanya.

 

SPOTV komited dalam memperkenalkan era baharu dalam hiburan sukan dengan membawakan peminat lebih dekat kepada acara sukan terbesar dunia, bukan sahaja di skrin TV, tetapi juga melalui aplikasi SPOTV NOW dan juga kandungan menarik dalam bahasa tempatan seperti di sebalik tabir dan liputan di lokasi di @SPOTVMY di YouTube, Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter. - DagangNews.com