Ong Kean Sing mahu kembalikan pembangunan di Beruas   | DagangNews Skip to main content

Ong Kean Sing mahu kembalikan pembangunan di Beruas  

Ong Kean Sing adalah Ketua Pemuda Gerakan Perak bertanding di bawah panji Perikatan Nasional bagi kerusi Parlimen Beruas.
oleh ZAKI SALLEH

BERUAS 16 Nov - Parlimen Beruas pernah mengecapi pembangunan pesat suatu ketika dahulu iaitu semasa dimenangi Gerakan di bawah Ahli Parlimennya, mendiang Tun Dr Lim Keng Yeik.

 

Mendiang menjadi Ahli Parlimen Beruas selama lima penggal iaitu sejak 1986 hingga 2008 (PRU7 - PRU 11) yang ketika itu juga merupakan Presiden Gerakan.

 

Hari ini, Beruas umpama pekan terpinggir berbanding kawasan terdekat seperti Manjung, Lumut dan Seri Iskandar walaupun jarak antaranya tidak jauh.

 

Sebab itu azam calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Beruas, Ir. Ong Kean Sing, 43, ialah untuk mengembalikan pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat Beruas.

 

Beruas

 

Lima teras utama diangkat sebagai manifesto beliau untuk membawa kemajuan pada daerah itu jika diberi mandat mewakili rakyat Beruas.

 

Antaranya ialah pembinaan universiti, persiaran Waterfront Pantai Remis, Pusat Pelancongan Manjung, pembinaan landasan keretapi Manjung dan Pusat Khidmat Rakyat

 

Kata Ketua Pemuda Gerakan negeri Perak ini, sebagai anak Beruas beliau mahu generasi muda di situ maju sepertimana penduduk bandar di Perak.

 

"Pengundi perlu yakin pada PN untuk beri kami peluang menjadi kerajaan. Tempoh 15 tahun di bawah pentadbiran sama tanpa ada apa-apa adalah tempoh yang cukup lama.

 

"Kita perlu berubah dan jangan sia-siakan masa depan generasi baharu Beruas. Saya anak Beruas dan berjuang untuk Beruas," ujarnya.

 

Kean Sing diletakkan sebagai calon PN bagi Parlimen Beruas kerana karisma kepimpinan beliau sebagai pemimpin muda.

 

Beliau yang juga seorang jurutera bertauliah bebas daripada sebarang isu selain merupakan pemimpin yang bersih.  - DagangNews.com