MyNews dijangka alami kerugian sehingga FY23, CGS-CIMB semak turun TP kepada 33 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyNews dijangka alami kerugian sehingga FY23, CGS-CIMB semak turun TP kepada 33 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jun - CGS-CIMB Research mengunjurkan kerugian MyNews Holdings Bhd. akan terus melebar sebanyak 53% kepada RM29.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (FY22).

 

Malah, kumpulan juga dijangka terus mencatat kerugian sehingga FY23 berikutan langkah pengembangan CU yang masih berdepan tempoh mencabar. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'kurang' terhadap MyNews dengan harga sasaran (TP) disemak lebih rendah kepada 33 sen daripada 50 sen sebelum ini. 

 

"Keadaan ini disebabkan persekitaran operasi yang semakin lemah di tengah-tengah kenaikan gaji minimum, harga bahan binaan, persaingan yang semakin sengit dalam ruang kedai serbaneka dan kekurangan buruh yang berterusan.

 

"Oleh itu, ia boleh mengakibatkan peningkatan kos operasi dan permintaan jualan yang lebih rendah, dan seterusnya menangguhkan keuntungan kepada FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : MyNews catat kerugian suku kesembilan berturut-turut

 

MyNews mencatatkan kerugian bagi suku kesembilan berturut-turut, dengan kerugian bersih RM10.22 juta pada suku kedua berakhir 30 April 2022 (2QFY22), daripada RM10.32 juta setahun lalu.

 

Catatan tersebut diperoleh di tengah-tengah hasil yang meningkat, namun terjejas oleh kos jualan dan perbelanjaan yang lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan dalam bilangan cawangan yang turut menyumbang kepada pertambahan jumlah jualan.

 

Hasil suku tahunan meningkat 35.74% kepada RM141.10 juta, daripada RM103.94 juta. Kerugian sesaham berjumlah 1.51 sen, daripada 1.5 sen.

 

Setakat ini, kumpulan memiliki 463 cawangan MyNews dan 95 cawangan CU.

 

Menurut CGS-CIMB, kerugian bersih teras dalam tempoh separuh pertama FY22 adalah lebih meluas daripada jangkaannya dan konsensus Bloomberg dengan masing-masing pada 82% dan 142% daripada anggaran kerugian penuh FY22.

 

"Walaupun hasil separuh pertama meningkat 38.5% tahun ke tahun kepada RM280.5 juta, ia tidak mencukupi untuk mengurangkan perbelanjaan pengedaran, pentadbiran dan rosot nilai, yang masing-masing berkembang 41%, 16% dan 13% kepada RM57 juta, RM17 juta dan RM32 juta serta kos kewangan yang lebih tinggi untuk mengembangkan cawangan CU," jelasnya.

 

Sehubungan itu, firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 dengan menjangkakan kerugian MyNews akan berterusan sehingga FY23.

 

"Pengembangan CU secara agresif adalah lebih sukar daripada jangkaan disebabkan kos operasi yang meningkat," katanya.

 

Setakat 10.14 pagi ini, harga saham MyNews susut 3.5 sen atau 6.36% kepada 51.5 sen dengan 1.38 juta saham diniagakan. - DagangNews.com