Muhyiddin tolak dakwaan kerjasama BERSATU, PAS ibarat kahwin mutaah | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin tolak dakwaan kerjasama BERSATU, PAS ibarat kahwin mutaah

Tan Sri Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU 16 Nov - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya hubungan dan kerjasama antara BERSATU dan PAS dalam gabungan itu, ibarat 'kahwin mutaah' yang bermaksud kontrak atau sementara.

 

Beliau yang juga Presiden BERSATU sebaliknya menyifatkan jalinan kerjasama antara kedua-dua parti itu cukup baik dan rapat, memandangkan mereka adalah pengasas kepada penubuhan gabungan itu.

 

"Kita punya jalinan kerjasama cukup kuat, sebab PAS adalah pengasas PN, lepas itu Gerakan sertai (PN), kemudian Sabah (Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tetapi pengasas ialah BERSATU dan PAS, ini (hubungan) bukan mutaah.

 

"Dari segi politik, jalinan kami cukup baik. Mereka yang kata begitu mungkin kerana (bimbang) sokongan kami cukup kuat," katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang di sini, semalam, menurut laporan Berita Harian.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang mendakwa hubungan BERSATU dan PAS dalam PN diibaratkan sebagai 'perkahwinan mutaah'.

 

Terdahulu, Mahdzir dilaporkan berkata, hubungan BERSATU dan PAS diibaratkan sebagai perkahwinan mutaah atau sementara dan bukan sesuatu yang menghairankan jika pemimpin kedua-kedua parti mengeluarkan kenyataan bercanggah, berhubung pendirian mereka.

 

Penyandang dan calon BN bagi Parlimen Padang Terap itu berkata demikian mengulas perbezaan pendirian antara Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Muhyiddin berhubung isu kerjasama antara parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

 

Bagaimanapun, Muhyiddin hari ini menyanggah kenyataan dibuat Takiyuddin berhubung isu bekerjasama dengan BN itu.

 

Katanya, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk bertindak sedemikian.

 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Muhyiddin turut mengulangi pendirian tidak akan bergabung dengan parti atau gabungan lain bagi membentuk kerajaan seperti yang didakwa segelintir pihak.

 

"Kami mahu lawan atas satu platform kami sendiri iaitu PN, tidak ada hendak berbaik-baik dengan BN, apa lagi dengan PH (Pakatan Harapan)," katanya yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

 

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PN parti paling kaya di Malaysia, bekas Perdana Menteri itu mencabar calon Parlimen Tambun itu untuk mengemukakan bukti.

 

"Apa bukti? Kalau hendak tunjukkan akaun bank antara PN dengan PH, saya boleh tunjukkan, boleh tidak Anwar tunjukkan akaun dia?

 

"Kami sebuah parti baharu, kami tidak mempunyai banyak sumber, kami hanya bergantung kepada mereka yang mahu membantu kami, itu sahaja… saya cabar dia," katanya.

 

Anwar dilaporkan mendakwa, PN parti politik paling kaya ketika ini berikutan banyak memperoleh projek bernilai bilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.

 

Beliau turut mendakwa, Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak mengeluarkan projek tanpa tender kepada pihak tertentu. - DagangNews.com