Muhaini tulang belakang kejayaan Ismail Sabri, sentiasa setia di sisi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhaini tulang belakang kejayaan Ismail Sabri, sentiasa setia di sisi

Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tidak pernah lekang mendoakan perjalanan politik Ismail Sabri sentiasa dipermudahkan termasuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat khususnya di Bera. - Gambar Astro AWANI
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BERA 5 Nov - Benarlah orang kata tulang belakang seorang lelaki itu adalah isteri yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan tidak kira dalam apa jua keadaan sama ada ketika susah atau senang.

 

Begitulah beruntungnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditemani isteri tercinta, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ketika penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Bera, hari ini.

 

Muhaini dilihat setia menemani Ismail Sabri walaupun terpaksa berdiri sejak pukul 9 pagi tanpa sebarang layanan istimewa atau protokol sehingga selesai proses penamaan calon.

 

Ini terbukti menerusi catatan Ismail Sabri sebelum ini mengatakan, “Nani (Muhaini) adalah seorang yang sangat 'simple' dan sentiasa tak mahu berada di bawah spotlight, sebab tu jarang sangat nampak dia”.

 

Isteri Perdana Menteri itu turut dilihat bergerak bersama para penyokong Barisan Nasional (BN) dari Dataran Kerayong, Bera ke pusat penamaan calon dan menanti sehingga proses penamaan selesai. 

 

Sementara itu, kata Muhaini, mulutnya tidak pernah lekang mendoakan perjalanan politik Ismail Sabri sentiasa dipermudahkan termasuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat khususnya di Bera.

 

“Saya sentiasa doakan beliau dapat meneruskan cita-cita membantu rakyat di Bera. Saya sangat bersemangat untuk memberi sokongan moral kepada suami saya.

 

 

PM

 

 

pm

 

 

“Harapan sudah tentu saya mahu Datuk Seri Ismail Sabri berjaya memenangi kerusi Parlimen Bera untuk penggal kelima,” kata Muhaini kepada Astro AWANI.

 

Kata Muhaini lagi, beliau sentiasa memberikan sokongan semangat terhadap suaminya itu dan berharap kerusi Parlimen itu dapat dipertahankan pada PRU15.

 

Hadir sama memberi sokongan kepada Perdana Menteri di Bera ialah anak-anak beliau termasuk Datin Sabrina serta Dafi yang juga artis terkenal. - DagangNews.com