MRA rayu sumbangan orang ramai bantu mangsa gempa bumi Turkiye, Syria | DagangNews Skip to main content

MRA rayu sumbangan orang ramai bantu mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Malaysian Relief Agency (MRA) merayu kepada orang ramai untuk menyumbang bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria.

 

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Kecemasan Gempa Bumi Turkiye-Syria menerusi akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad bernombor 5640 9820 8020.

 

Beliau berkata, untuk bantuan awal, MRA akan menyumbang sebanyak RM100,000 dengan segera kepada rakyat Turkiye dan Syria melalui rakan kerjasama di lapangan iaitu Medics World Wide dan Bonyan Organization.

 

"MRA sedang berusaha menggerakkan bantuan kecemasan melibatkan bantuan makanan, perubatan, khemah dan bantuan musim sejuk untuk meringankan beban mangsa yang terselamat.

 

"Kami juga akan menghantar 6 individu ke Turkiye dan Syria dalam masa terdekat untuk menjadi pasukan peninjau awal dan menyalurkan bantuan kecemasan daripada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Daud berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa tragedi gempa bumi yang melanda kawasan Turkiye dan utara Syria. 

 

Katanya, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter berpusat di wilayah Gaziantep itu telah merobohkan kediaman, kemusnahan harta benda awam, mengorbankan lebih 7,700 nyawa serta mengakibatkan lebih 30,000 cedera di kedua-dua negara.

 

 

MRA

 

 

"Lebih malang lagi, kejadian ini berlaku sewaktu musim salji dan hujan lebat menyebabkan ribuan mangsa yang terselamat masih terperangkap berada dalam kesejukan," katanya.

 

Tambahnya, sehingga kini proses mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan, yang mana kejadian gempa bumi ini dikatakan tragedi paling dahsyat  berlaku di negara itu sejak 1939. 

 

Ujarnya, utara Syria yang sejak bertahun lamanya menghadapi perang saudara dan hanya tinggal di kem pelarian bakal menghadapi saat getir sewaktu bencana gempa bumi.

 

Ini kerana peperangan masih berlaku dan bantuan dijangka sukar untuk masuk ke kawasan tersebut yang memang sudah lama tidak mencukupi, katanya. - DagangNews.com