Manfaat Belanjawan 2024: Rahmat bagi warga akademia | DagangNews Skip to main content

Manfaat Belanjawan 2024: Rahmat bagi warga akademia

Oleh MOHD AB MALEK MD SHAH dan SULAIMAN MAHZAN

RASANYA masih belum terlambat lagi bagi penulis untuk menitipkan sekalung tahniah dan selamat maju jaya kepada seluruh warga akademia daripada seluruh IPT Malaysia atas sambutan Hari Akademia ke-14 dengan tema “Akademia Pemacu Malaysia Madani” pada tanggal 4 Oktober 2023.

 

Secara peribadi, saya amat menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 dengan penuh tangan terbuka; bak kata pepatah; “pucuk dicita ulam mendatang”.

 

Ini kerana, sebagai sebahagian daripada warga akademik di salah sebuah institusi menara gading tempatan, memang tidak dapat dinafikan bahawa bajet yang berkonsepkan “ekonomi keperluan rakyat” ini turut menzahirkan keprihatinan dan kecaknaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan, peka terhadap segala isu signifikan dan perkara utama yang berkait rapat dengan lapangan pendidikan, sektor kesihatan, industri pertanian dan keusahawanan, selain strategi oleh pihak kerajaan dalam usaha ke arah memastikan kebajikan rakyat dan kemampanan tata kelola yang lebih telus lagi berintegriti.

 

Jika diteliti akan isi kandungan bajet tersebut yang telah diumumkan pada 7 Oktober 2023 secara langsung, terdapat pelbagai ‘durian runtuh’ yang telah direncana secara rapi untuk memastikan agar segala kepentingan dan kebajikan warga akademik terbela dengan sewajarnya.

 

 

parafrasa

 

 

Sebagai tamsilan, pihak kerajaan; menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperuntukkan sejumlah dana yang cukup besar iaitu sebanyak RM9. 6 billion dalam usaha ke arah memperkasakan tahap kualiti pendidikan tinggi di samping pendanaan ahli akademik yang terlibat dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi secara holistik.

 

Tambahan pula, pihak kerajaan turut bersetuju untuk membantu para penyelidik institut pengajian tinggi (IPT) bagi mendapatkan geran penyelidikan yang disediakan oleh pihak luar menerusi penubuhan dana khas sebanyak RM200 juta.

 

Ini turut menyentuh sokongan pihak kerajaan terhadap lapangan berkaitan penyelidikan asas dalam bidang sains dan teknologi menerusi penubuhan tabung khas di bawah Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) berjumlah RM100 juta.

 

Ini sejajar dengan antara intipati ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Majlis Sambutan Hari Akademia 2023 dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan pada 4 Oktober 2023 lepas yang menekankan betapa kerajaan amat komited untuk menghargai setiap sumbangan dan pencapaian serta turut memberikan galakan berterusan kepada warga akademia supaya terus berusaha dalam usaha ke arah peningkatan kompetensi diri dan kecemerlangan kendiri secara tuntas.

 

Selain itu, ‘buah tangan’ dalam bentuk ‘durian runtuh’ yang telah diumumkan menerusi bajet tersebut turut menzahirkan kesungguhan kerajaan dalam melahirkan seramai mungkin bilangan warga akademik yang bertaraf profesor menerusi penganjuran program latihan akademik bersesuaian yang akan didanai sebanyak RM450 juta secara keseluruhan.

 

Selain daripada menumpukan tujahan khusus terhadap bidang penyelidikan dan inovasi, bidang penerbitan dan prasarana turut mendapat perhatian sewajarnya menerusi pengumuman bajet tersebut.

 

 

parafrasa

 

 

Ini dapat dilihat terhadap rangsangan terhadap penerbitan karya ilmiah tempatan menerusi pengecualian cukai pendapatan individu ke atas royalti buku ilmiah sehingga RM100,000 selama setahun.

 

Ini secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada warga akademia untuk terus menyumbang buah fikiran dan kepakaran masing-masing ke arah percambahan dan perkongsian ilmu secara ilmiah dan konsisten.

 

Lebih menarik lagi, inisiatif oleh pihak kerajaan dalam memberikan pengecualian terhadap pendapatan kakitangan akademik yang menabur bakti murni di institusi menara gading di Malaysia sewajarnya dipuji.

 

Ini kerana, menerusi insentif tersebut, ia secara tidak langsung akan menjadi daya penarik terbaik kepada warga akademik dari luar untuk mencurahkan segala kepakaran dan daya keilmuan mereka bagi memberikan nilai tambah (added value) kepada para pelajar tempatan menerusi konsep silang budaya (cross culture) tanpa sempadan.

 

Isu kemudahan prasarana di IPT turut menjadi fokus utama yang dinyatakan dalam bajet tersebut menerusi peruntukan di bawah Skim Primer Perdana Menteri sebanyak RM200 juta secara keseluruhan. Ini seterusnya mampu untuk mewujudkan lanskap pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih kondusif lagi komprehensif.

 

Kesimpulannya, adalah diharapkan agar setiap warga akademia dapat merebut segala ruang dan peluang yang telah ‘dihadiahkan’ menerusi Belanjawan 2024 demi manfaat bersama; iaitu memperkasakan kebitaraan menara gading; di samping merealisasikan hasrat kemenjadian mahasiswa penerus kecemerlangan legasi negara bangsa ke arah mencapai matlamat Wawasan 2030.

 

Ini seterusnya dapat melestarikan kebestarian modal insan yang berkualiti dalam usaha ke arah memacu kelangsungan Malaysia menerusi konsep “Membangun Malaysia Madani” yang lebih makmur lagi dihormati.  - DagangNews.com

 

 

Mohd Ab Malek bin Md Shah adalah Koordinator/ Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka
Sulaiman bin Mahzan adalah Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media UiTM Cawangan Melaka