Leong Hup laksana 8 projek pengembangan dengan capex RM225.5 juta | DagangNews Skip to main content

Leong Hup laksana 8 projek pengembangan dengan capex RM225.5 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Sept - MIDF Research masih kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Leong Hup International Bhd. terutamanya kos bahan mentah ternakan yang tinggi akan memberi tekanan kepada marginnya.

 

Kawalan harga yang berterusan bagi ayam dan telur di Malaysia turut dijangka memberi kesan kepada kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Menurut firma itu, berikutan masalah bekalan ayam di dalam negara, kerajaan telah menguatkuasakan sekatan eksport ayam pada 1 Jun lalu bagi menstabilkan pengeluaran dan harga. 

 

"Kami percaya langkah ini telah menjejaskan jualan Leong Hup kerana kumpulan mengeksport ayam daging ke Singapura.

 

"Bagaimanapun, pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk menarik balik sekatan eksport pada Oktober bagi penternak terpilih menunjukkan tanda positif penarikan sepenuhnya larangan eksport ayam.

 

"Ini kemungkinan dapat memberi manfaat kepada Leong Hup sekali gus meningkatkan jumlah jualan dan pendapatan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya meningkat 32.77% kepada RM40.5 juta daripada RM30.5 juta berikutan sumbangan yang lebih baik daripada segmen produk berkaitan ternakan dan ayam.

 

Pendapatan suku tahunan meningkat 22.57% kepada RM2.27 bilion — tertinggi setakat ini — daripada RM1.85 bilion setahun sebelumnya apabila hasil daripada jualan ternakan dan produk berkaitan ayam meningkat 28% kepada RM1.27 bilion daripada RM992.5 juta.

 

Bagaimanapun, bagi enam bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih Leong Hup susut 39.63% kepada RM60.87 juta daripada RM100.83 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, walaupun pendapatan bagi tempoh itu meningkat 23.48% kepada RM4.36 bilion daripada RM3.53 bilion.

 

Dalam taklimat bersama penganalisis semalam, MIDF Research mendapati Leong Hup kini aktif melaksanakan pelan pengembangan membabitkan lapan projek dengan pelaburan modal (capex) berjumlah RM225.5 juta di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

 

Katanya, dua daripada projek berkenaan iaitu naik taraf kemudahan pemprosesan ternakan di Indonesia dijangka selesai pada suku ketiga ini.  

 

"Di samping itu, kumpulan juga mengambil alih ladang penetasan pada suku kedua 2022 untuk melaksanakan pengembangan pada masa depan dan meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan.

 

"Kemudahan baharu itu menelan kos pelaburan RM11.5 juta dan bertujuan untuk memproses 47 juta telur setahun," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Leong Hup dengan harga sasaran tidak berubah pada 47 sen. 

 

Setakat 9.20 pagi, harga sahamnya menokok 0.05 sen atau 1.03% kepada 49 sen dengan 14,600 saham diniagakan. - DagangNews.com