BERA 4 Nov - Ahli dan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO hendaklah mengetepikan segala perbezaan serta masalah berbangkit berhubung keputusan calon yang dipilih untuk bertanding mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, setiap perkara dan keputusan dibuat dengan pertimbangan untuk parti, justeru tugas setiap ahli parti adalah untuk bekerjasama dan saling menyokong bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya yang dihadapi.
“Setiap kali PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri) dan PRK (pilihan raya kecil) akan berlaku dan timbul masalah (tidak setuju dengan calon pilihan parti) di bahagian atau Parlimen… itu biasa. Tidak semua (nama yang dicadang sebagai calon) akan bertanding (dipilih sebagai calon).
"Walaupun semua layak, tapi yang terpilih hanya seorang. Yang penting ialah sesiapa yang terpilih (menjadi calon) adalah mewakili BN dan kita sebagai ahli, tugasnya adalah untuk memastikan kemenangan parti,” kata Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan jentera pilihan raya BN di Bilik Gerakan BN Parlimen Bera, di sini hari ini. - DagangNews.com


