Kerajaan stabil mampu harungi ketidaktentuan global - Tengku Zafrul  | DagangNews Skip to main content

Kerajaan stabil mampu harungi ketidaktentuan global - Tengku Zafrul 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika bertemu penduduk di sekitar Kuala Selangor

KUALA SELANGOR 17 Nov - Barisan Nasional (BN) perlu diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) agar kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi meneruskan segala polisi yang telah direncana untuk membantu rakyat dan negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

 

Seperti dilapor Bernama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, polisi  yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan ternyata menunjukkan hasil yang baik apabila ekonomi negara dapat berkembang walaupun berdepan dengan cabaran global termasuk keadaan geopolitik yang berlaku di Eropah. 

 

"Apa yang berlaku di Ukraine dan Rusia dan sekarang di Poland sedikit sebanyak memberi kesan termasuk ekonomi Eropah yang merundum. Malah, kadar inflasi juga tinggi kerana harga bahan bakar dan bahan mentah sudah naik.

 

"Di Amerika Syarikat juga kadar faedah naik dengan begitu tinggi dan ini membebankan rakyat di sana," katanya kepada pemberita hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, Malaysia turut terkena tempias daripada ketidaktentuan ekonomi global namun dengan polisi yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan, ekonomi negara masih kekal berkembang.

 

Katanya, ia terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga meningkat sebanyak  14.2%, yang merupakan kenaikan empat suku berturut-turut. 

 

"Tempoh sembilan bulan pertama pun naik sebanyak 9.3%. Tetapi apa yang penting kita kena lihat ke hadapan, pilihan raya ini, InsyaAllah kalau BN kembali dapat membentuk kerajaan kita teruskan polisi yang membantu rakyat dan membangunkan ekonomi,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun negara telah menunjukkan prestasi ekonomi yang baik, namun Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dengan rekod prestasi positif supaya dapat bersedia untuk menghadapi cabaran global pada masa depan. - DagangNews.com