KUALA LUMPUR 3 Sept. - Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada Julai 2021 dengan masing-masing meningkat 1.3% bagi bulan ke bulan, menurut Jabatan Perangkaan.
Laporan Indeks Perdagangan Luar Julai 2021 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan peningkatan itu
disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.7%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.1%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun, indeks volum eksport merekodkan penurunan 9% pada bulan sama yang didorong oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang
(-22.9%), barang-barang keluaran kilang (-12%) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.7%).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim menguncup 20.7% daripada 172.8 mata kepada 137.0 mata.
“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit tumbuh 14.3% manakala indeks volum eksport susut 8.2%,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+8.1%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4%).
Sebaliknya, indeks volum import susut 0.8% pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya berikutan kejatuhan indeks minyak serta lemak binatang dan sayur-sayuran (-19.1%), barang-barang keluaran kilang (-13.6%) selain bahan kimia (-9.8%).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Julai 2021 mencatatkan penurunan 9.5% kepada 154.3 mata daripada 170.6 mata,” katanya.
Menurut beliau, berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import berkenaan masing-masing meningkat 5.6% dan 17.5%.
Selain itu, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil 0.05 peratus bagi bulan ke bulan kepada 105.0 mata pada Julai 2021.
Bagi asas tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 8.4% daripada 96.9 mata pada Julai tahun lepas. - DagangNews.com








