Jangan lagi tangisi, tuding jari punca BN tewas PRU14 - PM | DagangNews Skip to main content

Jangan lagi tangisi, tuding jari punca BN tewas PRU14 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah, Sungai Siput, Perak pada 15 November 2022. - Gambar BERNAMA

SUNGAI SIPUT 15 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu ahli Barisan Nasional (BN) menangisi dan menuding jari salah siapa yang menjadi punca gabungan parti itu tewas pada PRU14.

 

Sebaliknya, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO menyeru ahlinya agar kekal fokus dan bergerak ke hadapan demi memastikan BN memperoleh mandat rakyat sekali gus dapat membentuk kerajaan pada PRU15, lapor Berita Harian.

 

Katanya, jika ahli terus mengenang kekalahan BN pada 2018, ia langsung tidak menyumbang sebarang keuntungan kepada masa depan parti.

 

"Saya ingat biar kita lupakan sahajalah PRU14. Sapa kalah dan sapa tak kalah. Ingat itu. Tak perlu diperbincangkan lagi. Kita mesti bergerak ke hadapan.

 

"Yang penting bagaimana kita perlu menang dalam PRU15. Itu mustahak. Jangan kita tangisi benda yang lepas. Ia tak akan boleh mengubah apa-apa.

 

"Yang penting, kita belajar daripada kesilapan dan pastikan kita boleh menang jadi parti dominan serta memenangi semula pilihan raya. Itu sahaja sasaran kita adalah untuk menang," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di sini, hari ini.

 

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan calon BN Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran.

 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dibuat Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, bahawa BN mungkin akan kekal berkuasa jika Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bertanding PRU14.

 

Saravanan berkata, masalah berkaitan imej Najib menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peralihan sokongan pengundi India sehingga BN tewas. - DagangNews.com