Ismail Sabri adalah satu-satunya calon PM - Izudin Ishak | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri adalah satu-satunya calon PM - Izudin Ishak

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak bertemu penduduk PPR Seri Semarak Setapak.

KUALA LUMPUR 17 Nov - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak, menegaskan Datuk Seri Ismail Sabri adalah satu-satunya calon Perdana Menteri bagi parti itu.

 

Izudin, berkata rakyat tidak perlu lagi dimomokkan oleh pihak tertentu yang mengatakan ada krisis di dalam pucuk pimpinan BN.

 

Malah, katanya propaganda oleh pihak pembangkang adalah tidak benar.

 

"Perkara ini sudah pun dibincangkan dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (yang) sepakat dan bersetuju bahawa Ismail Sabri adalah satu-satunya calon Perdana Menteri bagi BN.

 

"Kami sudah bersetuju beliau (Ismail) adalah Perdana Menteri kita selepas pilihan raya," katanya.

 

Menerusi video yang dikongsi berhubung kenyataan Izudin itu, orang ramai yang hadir pada acara itu dilihat menyambut baik perkara berkenaan.

 

Kebanyakan mereka bersorak dan bertepuk tangan apabila Izudin mengesahkan bahawa Ismail adalah calon Perdana Menteri BN.

 

Pembangkang sebelum ini mendakwa kononnya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri walaupun Ahmad Zahid beberapa kali menyatakan Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri gabungan itu. - DagangNews.com