FGV, MTUC bersama ILO anjur bengkel bersama tingkatkan kesedaran isu buruh paksa, kanak-kanak | DagangNews Skip to main content

FGV, MTUC bersama ILO anjur bengkel bersama tingkatkan kesedaran isu buruh paksa, kanak-kanak

KUALA LUMPUR 14 Jun - FGV Holdings Bhd (FGV), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Malaysia menganjurkan bersama bengkel bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam kalangan pekerja ladang FGV.

 

FGV berkata, bengkel yang diadakan di Bentong itu bertujuan menyokong agenda global dan nasional untuk membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak serta menyumbang kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (2021-2025) dan Ikrar Kebangsaan untuk Membasmi Buruh Kanak-kanak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazrul Izam Mansor berkata, FGV komited dalam memainkan peranan bagi menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

 

FGV percaya isu itu amat penting dan memerlukan fokus dan komitmen jangka masa panjang.

 

“Kami tahu isu ini memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua  pihak yang berkaitan termasuk perniagaan, agensi kerajaan dan organisasi  sivil,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Beliau berkata, sesi tersebut adalah sebahagian daripada pelbagai program dan inisiatif FGV bagi menambah baik amalan buruh dalam operasinya dan untuk menegakkan piawaian buruh.

 

Bengkel itu dikendalikan oleh wakil MTUC dan disertai kira-kira 60 pekerja dan 30 kakitangan pengurusan daripada ladang FGV.

 

Syarikat perladangan itu berkata FGV, MTUC dan ILO Malaysia mengulangi komitmen berterusan untuk memainkan peranan penting dalam usaha itu.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pembasmian buruh paksa dan buruh kanak-kanak hanya boleh dicapai jika terdapat kesedaran dan pemahaman yang mencukupi tentang isu tersebut dalam kalangan semua pihak terutamanya pekerja, kanak-kanak, ibu bapa dan agensi penguatkuasaan.

 

Penyelaras projek nasional ILO Malaysia, Josh Hong pula menekankan kepentingan kebebasan berpersatuan dan perundingan kolektif sebagai salah satu kaedah untuk memperkasakan pekerja dan menyatakan sokongan berterusan ILO terhadap kerjasama rentas sektor bagi menamatkan isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di Malaysia. - DagangNews.com