Enggan mohon maaf, Sanusi mahu jumpa Anwar di mahkamah berkait dakwaan ‘perwatakan tidak bermoral’ | DagangNews Skip to main content

Enggan mohon maaf, Sanusi mahu jumpa Anwar di mahkamah berkait dakwaan ‘perwatakan tidak bermoral’

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor - Gambar Facebook Faizal Azumu

ALOR SETAR 18 Nov - Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau tidak akan memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membayangkan presiden PKR itu berperwatakan tidak bermoral.

 

“Saya tidak mahu (meminta maaf), saya ingin jumpa (beliau) di mahkamah,” kata Sanusi pada ceramah malam tadi, kepada laungan “takbir” daripada orang ramai.

 

“Saya tidak menuduhnya. Saya cuma komen mengenai apa yang berlaku (kes mahkamah). Semua orang tahu (mengenainya),” katanya yang merujuk sabitan kes liwat pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

 

Anwar menerima pengampunan diraja penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

 

Semalam, Anwar menghantar surat tuntutan kepada pemimpin PAS itu supaya segera menarik balik ucapan yang disifatkannya berunsur fitnah, lapor Free Malaysia Today.

 

Sanusi dikatakan telah membuat kenyataan itu pada satu ceramah menyokong calon Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menurut surat tuntutan itu.

 

Bagaimanapun, di ceramah untuk calon PN, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Sik malam tadi, Sanusi berkata, beliau belum menerima surat tuntutan daripada peguam Anwar, SN Nair.

 

Menteri Besar Kedah itu mengulangi kenyataannya bahawa hanya lelaki boleh menjadi Ahli Parlimen Sik.

 

“Kedua-dua calon wanita (dari BN dan PH) tidak boleh (jadi Ahli Parlimen Sik). Sik memerlukan calon lelaki. Anda ada Ustaz Tarmizi di sini, pilih dia,” katanya.

 

Sanusi baru-baru ini dikritik oleh pelbagai pemimpin berhubung kenyataannya mengenai calon wanita terutamanya daripada calon PH di Sik, Latipah Md Yatim, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. - DagangNews.com