KUALA SELANGOR 4 Nov - Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rata-rata nelayan sekitar Parlimen Kuala Selangor mahu kerajaan yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, meneruskan bantuan sara hidup kepada golongan itu.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan, bagaimanapun memaklumkan perkara itu akan diperjuangkan BN menerusi pembentangan semula Bajet 2023 jika diberi mandat kelak, lapor Berita Harian.
"BN akan meneruskan elaun sara hidup bulanan nelayan darat sebanyak RM250 dan RM300 kepada nelayan laut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas Sesi Sembang Santai dan Sumbangan Bantuan kepada Nelayan Kuala Selangor di Jeti Nelayan Tanjung Keramat, di sini.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM70,000 diperuntukkan kepada tujuh jeti nelayan bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di sekitar Kuala Selangor.
"Kerja-kerja naik taraf ini dijangka bermula dalam waktu terdekat. Peruntukan ini telah tersedia dan kita menganggarkan ada jeti yang memerlukan kos lebih tinggi. Namun untuk permulaan, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM10,000 setiap jeti," katanya.
Tengku Zafrul berkata, kebanyakan jeti terbabit dalam keadaan uzur dan kurang selamat kepada nelayan.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk tujuh jeti itu diselenggara dan dinaik taraf daripada pembaikan kecil sehinggalah ke projek naik taraf.
"Ia memerlukan kos yang besar serta memerlukan kajian dan kelulusan daripada agensi berkaitan di peringkat Selangor dan Persekutuan.

"Ambil contoh keadaan Jeti Tanjung Keramat. Walaupun strukturnya konkrit, namun ia memerlukan pembaikan segera terutama dalam keadaan lantai yang tidak kukuh disebabkan banjir dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, jeti nelayan ketika ini bukan hanya berfungsi sebagai tempat pendaratan hasil laut, sebaliknya berpotensi dijadikan lokasi tumpuan pelancong.

"Saya difahamkan, ramai masyarakat di sini menerima kehadiran pelawat yang bukan sahaja hendak memancing tetapi ingin mengetahui kehidupan nelayan.
"Oleh itu, masyarakat diharap dapat merebut peluang yang ada di kawasan bagi menambah pendapatan dan merancakkan lagi sosio ekonomi penduduk," katanya. - DagangNews.com


