Anwar Ibrahim berdepan pertembungan 4 penjuru di Parlimen Tambun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anwar Ibrahim berdepan pertembungan 4 penjuru di Parlimen Tambun

Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) tersenyum melihat gelagat Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) bersama Abdul Rahim Tahir (dua, kiri) di Pusat Penamaan Calon di Institut Latihan Perindustrian Ipoh, Perak pada 5 November 2022. Turut kelihatan, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (kanan).
Oleh ZAKI SALLEH 

TAMBUN 5 Nov - Kehadiran lebih 3,000 penyokong parti-parti politik bertanding menyaksikan laluan masuk ke Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini yang menjadi tempat penamaan calon bagi Parlimen Tambun meriah dengan sorakan.

 

Walaupun sesekali berlaku balas membalas sorakan tetapi keadaan terkawal dengan kehadiran lebih 100 anggota polis termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

 

Ini kerana tidak berlaku sebarang provokasi daripada penyokong parti politik melainkan sorakan, laungan takbir, nyanyian dan pukul gendang.

 

Para penyokong Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mulai hadir seawal pukul 8 pagi.

 

Parlimen Tambun menyaksikan pertarungan empat penjuru antara Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Perikatan Nasional Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu;  Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon GTA, Abdul Rahim Tahir.

 

Terdahulu Anwar Ibrahim memasuki pusat penamaan pukul 8.45 pagi diiringi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta iaitu Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan Asmuni Awi (calon DUN Manjoi).

 

Sementara itu Aminuddin, masuk dari persimpangan bertentangan diiringi calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan calon DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.

 

Ahmad Faizal atau Peja pula memasuki pusat penamaan sekitar pukul 8.50 pagi diiringi calon DUN Manjoi, Hafez Sabri dan Puteri Holijah Mohd Rali (DUN Hulu Kinta).

 

Pada PRU14, Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan BN, PH dan PAS yang dimenangi Ahmad Faizal menewaskan penyandang, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah. - DagangNews.com