Apakah risiko Tabung Haji diletak di bawah Bank Negara Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 21 July 2021

APAKAH RISIKO TABUNG HAJI DILETAK DI BAWAH BANK NEGARA MALAYSIA?

 

 

KETIKA perhatian tertumpu kepada angka kes positif melebihi 10,000 kes sehari minggu lalu, negara kecoh dengan isu Tabung Haji (TH) yang akan diletakkan di bawah Bank Negara Malaysisa (BNM). Adakah relevan TH diletakkan dibawah BNM? Apakah alasan kerajaan mahu meletakkan TH dibawah bidang kuasa BNM?

 

Menurut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, cadangan ini dilakukan bagi menambah baik tadbir urus dan juga mengelakkan pemusatan kuasa yang terlalu besar dalam Akta Tabung Haji 1995.

 

Kenali Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan pada 1969 dengan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau nama singkatan, LUTH sebelum ditukar kepada TH pada 1995. Idea besar penubuhan TH ini adalah dari Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz dan beliau sendiri sebagai pengasas Tabung Haji.

 

TH ditadbir berdasarkan kepada Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan perintis dalam institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.

 

Dalam usia sudah melangkaui 52 tahun, TH menjalankan fungsi utama penyimpanan wang bagi individu yang ingin mengerjakan haji.  Walaupun wujud bank-bank tempatan yang lain di negara ini, umat Islam enggan menabung dengan perbankan konvensional atau Islamik  yang lain untuk tujuan mengerjakan ibadat haji. Pendeposit mahukan simpanan mereka tiada sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperoleh nanti adalah haji mabrur.

 

Risiko TH jika diselia oleh BNM

Kerajaan digesa jangan terburu-buru dalam melakukan perubahan dalam pentadbiran TH. Perubahan ini akan memberi kesan kepada TH sendiri malah peranannya akan diperlakukan sebagai sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata jika diletakkan di bawah BNM. TH juga boleh hilang potensinya sebagai sebuah dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia iaitu pemerkasaan ummah.

 

Jika TH diletakkan di bawah BNM, dan ia akan menjadikan TH sebagai “Institusi Kewangan” dan akan dikawal selia melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

 

TH

 

 

Apakah risikonya kepada TH kelak?

Jika di bawah BNM, segala dasar-dasar dan polisi utama TH perlu mendapat kelulusan BNM terlebih dahulu sebelum boleh dilaksanakan. Seperti yang kita tahu, BNM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan dan campur tangan ini pastikan akan menyebabkan penetapan dasar dan polisi TH  bertambah “huru-hara”.

 

Apakah jaminan kerajaan dengan dasar dan polisi subsidi haji kepada rakyat yang TH sumbangkan sebelum ini? Adakah rakyat masih akan mendapat subsidi haji yang sama seperti sebelum ini? Ini semua risiko yang perlu kita perhalusi dalam membuat keputusan meletakkan TH di bawah BNM.

 

Risiko kepada pendeposit juga akan berlaku kerana sebelum ini, pendeposit yang menyimpan di TH mendapat jaminan sepenuhnya oleh kerajaan.

 

Namun apabila TH di bawah BNM kelak, adakah pendeposit tetap mendapat jaminan simpanan mereka. Jika di bank, simpanan pendeposit hanya akan mendapat jaminan pada jumlah maksimum RM250,000 sahaja.

 

Selain itu, apakah BNM dan Kementerian Kewangan akan memahami “maqasid” (tujuan dan kepentingan asal) kewujudan TH yang sebenarnya. Tindakan menilai semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995 ini membimbangkan banyak pihak dan dikhuatiri “maqasid” TH gagal dipertahankan.

 

 

bnm

 

 

Elak Pemusatan Kuasa

Walaupun alasan kerajaan untuk meletakkan TH di bawah BNM sebagai mengelakkan pemusatan kuasa tetapi ia boleh dianggap dari tangan kanan ke tangan kiri. Yang mana dahulunya kuasa pemutus dasar polisi di tangan Menteri Agama dan kini bertukar ke Menteri Kewangan. Di manakah alasan mengelakkan pemusatan kuasa itu?

 

Untuk memastikan TH kekal relevan dan mengembalikan fungsi dan kredibiliti TH sebagai sebuah institusi penting bagi umat Islam, TH perlu ditadbir dengan kecekapan tadbir urus yang baik dan berintergriti.

 

TH boleh dijadikan sebagai “National Trust” dan ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah yang mana Lembaga Pemegang Amanah ini dianggotai oleh tokoh atau individu yang berwibawa.

 

Ahli Lembaga Pengarah ini juga boleh dianggotai oleh individu dari dalam dan luar negara juga bagi memastikan TH ditadbir dengan “pentadbiran” yang lebih kompeten.

 

Jika kerajaan tetap mahukan BNM “campur tangan” dalam TH, kerajaan boleh juga melantik wakil BNM sebagai sebagai salah seorang ahli Lembaga Pemegang Amanah TH daripada meletakkan TH sepenuhnya di bawah BNM. Sebagai contoh, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) boleh diberikan kepada wakil dari BNM.

 

Selain itu, TH boleh memilih untuk melaksanakan pentadbiran secara “dual board”. Apakah itu pentadbiran “dual board”.

 

Ini bermakna TH boleh membentuk dua (2) Lembaga Pengarah yang mana pertama, Lembaga Pengarah Pengurusan yang akan tugas dan fungsi yang sama seperti kini iaitu memantau operasi TH.

 

Lembaga Pengarah Pengurusan boleh menumpukan peranan kawal seliaannya terhadap aktiviti pengambilan deposit, pengurusan risiko dan tadbir urus korporat.

 

Yang kedua, Lembaga Pengarah Penyeliaan yang berfungsi untuk memantau kuasa dan keputusan-keputusan oleh Lembaga Pengarah Pengurusan.

 

Lembaga Pengarah ini boleh memantau dan mengawal selia semua keputusan yang dibuat sebagai satu mekanisme semak dan imbang dalam memastikan ketelusan dalam pentabiran TH terutamanya bebas salah guna kuasa dan rasuah.

 

 

TH

 

 

Pastinya, dalam memperkasakan TH sebagai sebuah institusi yang lebih kompetitif untuk masa akan datang dalam ekosistem kewangan negara, pastinya pemantauan dan kawal selia pentadbiran TH perlu menjadi keutamaan kini.

 

Kita tidak mahu TH yang kita anggap sebagai sebuah institusi umat Islam ini “bergelumang” dengan isu salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya. Sepatutnya TH lah yang menjadi  institusi yang bersih dan berintergriti.

 

Meletakkan TH di bawah BNM tidak semestinya boleh “mencuci dan membersihkan” TH. Apa yang rakyat takutkan, jika TH diletakkan di bawah BNM apakah jaminan ‘status quo” bagi pendeposit tetap kekal seperti diperuntukkkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan kekal atau tidak?  - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

Portfolio Tags