Apa relevan Hang Tuah kepada kita hari ini?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 26 February 2022

Apa relevan Hang Tuah hari ini? 

 

 

 

BARU-BARU ini ada perdebatan hebat bahawa dalam Sejarah Melayu tiada disebutkan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Siapakah Hang Tuah itu sebenarnya?

 

Amat menghairankan membaca perkongsian segelintir pembahas facebook dan alam maya ini yang bermati-matian menyatakan mereka membaca rujukan di India, dari China yang tidak menyebut Hang Tuah tetapi gagal atau tidak mahu menerima sumber Sejarah Melayu.

 

Di sini saya kongsikan salah satu muka surat dari Sulalat Us-Salatin atau Sejarah Melayu untuk pencerahan kemusykilan.

 

Yang jelas, jika satu fakta ini silap, kita tidak pasti kesahihan fakta lain. 

 

Memang terdapat banyak analisis, dakwaan dan andaian yang dibuat tentang kewujudan hero lagenda, Hang Tuah.  

 

Di TV, Facebook dan di Melaka sekalipun, ramai yang tertanya-tanya soalan yang sama. Hang Tuah itu sekadar legenda atau benar-benar wujud?


 

hikayat

 

Apa yang lebih penting -  apa relevannya Hang Tuah untuk kita hari ini?

 

Kewujudan Hang Tuah juga masih menjadi kancah perdebatan terutamanya antara mereka yang bersikap konservatif, dan mereka yang beranggapan liberal.

 

Sebenarnya, mahu tidak mahu, Hang Tuah terus mewarnai sejarah dan peradaban bangsa.

 

Memang cabaran yang diletakkan pada manusia bernama Hang Tuah atau mana-mana ‘hero’ folklore dunia memang berat.

 

 Ini adalah kerana paksi nilai murni masyarakat dan adab serta tatasusila berubah mengikut peredaran zaman. 

 

Suatu masa dahulu,  Hang Tuah begitu sebati dalam pemikiran kita sebagai pahlawan terhebat dunia Melayu. 

 

Dan yang lebih penting, beliau merupakan wira tanahair.  Namun persoalan yang didebatkan oleh Allahyarham Kassim Ahmad, tentang siapalah wira sebenar - Tuah atau Jebat, membuka ruang mempersoalkan ketokohan Tuah sendiri. Ini amat malang sekali.

 

Pertama, Jebat bukanlah pemberontak asal seperti dalam Sejarah Melayu. Kedua, pemberontak ini menderhaka pada Sultan iaitu institusi ketua kerajaan dan melakukan kekejaman dan mengamuk di Melaka, mengorbankan banyak nyawa - kesedihan kehilangan Tuah tidak menghalalkan segala rusuhan dan dosa yang dilakukan. 

 

Namun yang hilang dari minda kita adalah Hang Tuah. Yang dinyahkan dari kedudukan sebagai wira bangsa adalah Hang Tuah.

 

Yang menjadi kontroversi itu Hang Tuah. Dan hilangnya Hang Tuah sebagai ikon bangsa meruntuhkan jati diri bangsa Melayu sendiri.


 

hikayat

 


Dari kesetiaannya kepada Baginda Sultan hingga kesemua ciri ciri terbaik Hang Tuah, semua ini menjadi bahan perdebatan, perbalahan dan kadangkala menyedihkan, cemuhan.  

 

Dan satu perdebatan yang dipolitikkan untuk membangkitkan kemarahan dan persengketaan. 

 

Ini satu fenomena yang tidak dapat dijelaskan.  Kebanyakan budaya dunia berlumba lumba memperkasakan legenda dan wira mereka, ramai antara kita memutuskan untuk membelakangkan Hang Tuah dan sejarah. 

 

KAJIAN SILANG

Apabila kita terus menidakkan kewujudan Hang Tuah, kita sebenarnya terlepas peluang untuk belajar daripada Hang Tuah — tidak kira sama ada legenda atau wira, serta mengenali secara lebih dekat imbauan era  sejarah yang amat penting bagi negara kita.

 

Terdapat dua sumber utama yang memaparkan kewibawaan manusia bernama Hang Tuah.  

 

Satu ialah Sejarah Melayu (sekitar 1600an) dan satu lagi, Hikayat Hang Tuah (sekitar 1700an).  Kedua-duanya adalah karya terkenal, diperakui  oleh UNESCO sebagai khazanah dunia. 

 

Namun terdapat catatan lain yang mengisahkan kewujudan Laksamana Melaka.  

 

Amat malang bagi dunia pelayaran apabila catatan pelayaran Laksamana Cheng Ho dihapuskan sekitar tahun 1480-an berikutan Kerajaan Dinasti Ming mengamalkan dasar tutup pintu.


 

sejarah melayu

 


Namun, nasib baik terdapat catatan terkawal iaitu catatan Ming (Ming Shi-lu). 

 

Berdasarkan teks terjemahan Ming ini oleh Geoffrey Wade (1994), dua orang Laksamana dari Melaka pernah ke negeri China.

 

Laksamana Melaka pertama diutus Sultan Mansur Shah tiba di negeri China pada tahun 1469.

 

Malangnya kapal mereka ketika pulang ke Melaka terkandas di perairan Annam.  

 

Kesemua orang besar Melaka dibunuh dan yang terselamat dijadikan hamba. Dua belas tahun kemudian seorang lagi Laksamana telah ke negeri China yang dirujuk sebagai "Duan-ya-ma-la-di-na-zha" (端亞媽剌的那).

 

Untuk mendapatkan keadilan Laksamana telah melaporkan kejadian di perairan Annam yang terjadi pada tahun 1469 itu yang diketuai Laksamana dan 12 pembesar Melaka telah mati dibunuh. 

 

Ini merupakan satu ekspedisi diplomasi yang rumit yang berpihak pada Laksamana Melaka yang bijak mencaturkan langkah.

 

Dan jika kita susun jalur masanya, Laksamana Melaka yang kedua ini pastilah Laksamana Hang Tuah. (Terima kasih Yusrin Faidz Yusoff di atas perkongsian dan huraian beliau yang terperinci)


 

hikayat

 


Dari Hikayat Hang Tuah kita melihat bahawa Hang Tuah belayar ke Acheh, Mekah dan Rom. Janganlah kita menidakkan semua warisan ini. Buatlah kajian terperinci sendiri. 

 

(Kajian dan pendapat peribadi: Mungkinkan Rom yang dimaksudkan adalah Istanbul yang pada zaman itu telah diambil alih oleh Kerajaan Uthmaniyah di mana Sultan selepas Fateh (Sultan Mehmed) membuka Konstantinopal pada 1453 terus mengambil gelaran Kaiser Rom)  

 

LEGASI HIKAYAT

Mungkin segala bukti kewujudan Hang Tuah akan terus didebatkan. Namun, secara peribadi, saya lebih cenderung menulis kisah hikayat, yang mana naratifnya berupaya memberi semangat dan menyuntik minat terhadap kepakaran, pemikiran dan keberadaan zaman dahulukala yang boleh membina jati diri hari ini. 

 

Apakan pengajaran yang ingin disampaikan oleh satu-satu penceritaan hikayat?

- Hang Tuah menguasai 12 bahasa
- Badang berjaya melepaskan diri dari perhambaan
- Raja Chulan menyelam ke laut dalam
- Malim Deman terbang ke kayangan
- Puteri Dayang Nuraimah dan Puteri Jawa belayar ke laut, berperang dengan menggunakan rentaka dan ishtinggar, mahir ilmu maritim dan ilmu bedil
- Arduga Wijamalai menundukkan Rama Kamheang dari Sukothai
- Hang Tuah belayar membelah lautan ke Ryukyu (Okinawa) dan ‘Rom’, VijayarNagara dan China? Walaupun nama mungkin tidak disebut, Laksamana disebut dalam catatan asing. Bukti lain juga timbul  apabila keris dan ishtinggar ditemui di Okinawa. 

 

Warisan wujud dalam pelbagai bentuk. Keyakinan dan jatidiri, satu legasi tidak ternilai. 

 

KENAPA MENGAGUNGKAN WIRA DUNIA TETAPI MENIDAKKAN WIRA DUNIA MELAYU

Siapalah Paris, Hector, Agamemnon dan Achilles tu dalam kisah Yunani? Tetapi terus disebut-sebut kisah mereka sampai hari ini? Dalam filem, eGames mempengaruhi anak muda sekarang? Anthony dan Cleopatra? Shih Huang Ti? Semua hebat dan kita hormati legenda dunia. 

 

Sekadar nama, kita rasa susah nak sebut Krung Thep Maha Nakhon jadi kita panggil Bangkok tapi orang Thai tak rasa susah.  Di seluruh dunia, gelaran lebih senang dan selamat dari segi protokol. Bukankah catatan Alfonso de Albuerqueque menyebut Laksamana hebat dari Melaka? Bukankah Pigafetta menyebut Enrique du Malacca? 

 

Jangan sewenang-wenangnya memperlekehkan warisan bangsa.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags