Apa nasib Perak FC selepas diambil alih XOX? | DagangNews.com Skip to main content

Apa nasib Perak FC selepas diambil alih XOX?

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Langkah XOX Berhad menerusi anak syarikatnya XOX Pro Sport Sdn. Bhd. mengambil alih Perak FC dilihat memberi kelegaan bukan sahaja kepada pemain serta pengurusan tetapi juga kepada penyokong mereka.

 

XOX menjadi pemilik baharu pasukan itu selepas mengambil alih 2,500 saham biasa yang mewakili 100% kepentingan ekuiti dalam Perak FC Sdn. Bhd. dengan nilai RM1.

 

Kumpulan itu mungkin baharu dalam sukan bola sepak tetapi mereka sebelum ini sudah terlibat dalam sukan permotoran dengan menaja dan memberi sokongan penuh kepada The Komanz Kru Racing  (TKKR) yang terlibat dengan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 

 

Pendapatan tahunan daripada penajaan itu mencatatkan peningkatan positif dan pegangan saham mereka adalah berkait secara langsung dengan kerjasama bersama pasukan TKKR Racing Team.

 

Sebelum ini, Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi memberi gambaran bahawa kehadiran mereka adalah untuk memberi sinar baharu kepada The Bos Gaurus selepas sekian lama dibelenggu masalah kewangan dan sudah tiba masanya untuk mereka bangkit dan menjadi antara kuasa besar dan sukan bola sepak.

 

Masalah kewangan Perak FC:

  • Kerugian selepas cukai RM2.32 juta (penyata kewangan yang diaudit sehingga 30 Jun 2021)
  • Liabiliti bersih RM3.5 juta
  • Liabiliti tertunggak dan kos operasi RM7.1 juta

 

perak

 

"Kita akan buat bayaran kepada semua pemain supaya dapat daftarkan pemain-pemain baharu. 

 

"Kita akan melabur untuk membangunkan bola sepak negeri dan berharap penglibatan kita dalam pasukan ini dapat menaikkan semula kegemilangan Perak sebagai jaguh bola sepak negara," katanya.

 

perak
Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi

 

Antara pendekatan yang mungkin diambil XOX:

  • Melunaskan segala tunggakan gaji pemain 
  • Melunaskan hutang-hutang pasukan tidak termasuk hutang di luar jangka selepas pengambilalihan
  • Mencari pelaburan baharu untuk Perak FC
  • Meningkatkan jangkauan dengan mengembangkan lagi ekosistemnya untuk menggabungkan bola sepak

 

Kisah Perak FC boleh dikatakan hampir seperti Kelantan FC yang suatu ketika dahulu dibelenggu hutang sebelum pemiliknya, Norizam Tukiman menjadi penyelamat dengan mengeluarkan pasukan itu menerusi proses penswastaan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) suatu ketika dahulu.

 

perak

 

Beliau yang juga pakar pelaburan penah mendapatkan pandangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mendapatkan pandangan untuk memajukan kelab itu selepas membuat pelaburan sebanyak RM6.8 juta untuk menjadi pemilik saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd. itu.

 

Diharapkan dengan pemilikan baharu itu akan memberi sinar baharu kepada Perak FC dalam meneruskan kecemerlangan mereka dalam kancah bola sepak tempatan. - DagangNews.com