Apa masa depan sektor perkilangan Johor? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 12 March 2022

APA MASA DEPAN SEKTOR PERKILANGAN JOHOR?

Oriental Daily, 10 Mac 2022

 

 

 

SUSULAN Pilihan Raya Neger Johor 2022 diadakan secara berasingan dengan Pilihan Raya Umum, Johor kini menjadi tumpuan dan isu-isu tempatan berpeluang untuk dibawa ke hadapan.

 

Satu daripada isu yang menjadi bualan adalah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan pekerjaan agar rakyat tempatan sanggup kekal tinggal di kampung sendiri mencari rezeki, tanpa perlu lagi bergantung kepada pekerja asing. 

 

Selepas dua tahun sempadan Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik COVID-19, ramai orang memilih untuk berjauhan dengan keluarga dan anak demi untuk mengekalkan pekerjaan mereka.

 

Ada juga yang terpaksa berhenti kerja atas sebab kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencari jalan lain demi untuk mencari rezeki.

 

Tekanan sosial yang timbul selama 2 tahun ini, mungkin tidak dapat difahami oleh rakan-rakan negeri lain.

 

Melihat kepada pembangunan Singapura sejak 40 tahun lalu, ramai yang percaya Johor khususnya Johor Bahru mempunyai masa depan yang cerah.

 

Dari perspektif pembangunan perkilangan, kelebihan kita adalah terletak pada sumber air dan tenaga yang banyak dan murah.

 

Malaysia juga mempunyai kelebihan kerana kaya dengan bahan mentah seperti petroleum, gas asli dan minyak sawit.

 

Selain itu berbanding Singapura, kita juga mempunyai kelebihan tanah yang luas untuk pembangunan perindustrian dan perumahan.

 

 

johor
Pemandangan dari udara kawasan perindustrian Pasir Gudang di Johor.

 

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, Johor telah membangunkan sejumlah besar tanah dan infrastruktur sejajar dengan pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Antara zon perindustrian adalah Kulai I-Park; Senai Airport City Free Industrial Zone (SAC); Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX); Bio Agro Valley dan lain-lain.

 

Pembangunan pesat taman-taman perindustrian dengan kadar terbengkalai yang tinggi, rakyat Johor sepatutnya memberi lebih perhatian dan tekanan kepada kerajaan negeri.

 

Negeri Johor sentiasa berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja. Semasa pandemik melanda, isu kekurangan buruh tempatan menonjol berikutan ramai pekerja asing pulang ke negara masing-masing.

 

Kilang-kilang tempatan yang besar menyelamatkan diri dengan mengambil pekerja dari Sabah dan Sarawak, juga ada yang menjelajah masuk ke kawasan felda dan pekan-pekan kecil di Johor untuk mengambil pekerja.

 

Oleh kerana ramai tenaga mahir Johor memilih untuk bekerja di Singapura, menyebabkan negeri itu sukar untuk  membangunkan industri mewah malah sektor perkhidmatan yang asas juga berdepan dengan persaingan dari Singapura.

 

Kadar penghijrahan tenaga mahir di Johor adalah lebih tinggi berbanding negeri yang lain.

 

Kita harus mempertimbangkan bagaimana untuk bekerjasama dengan pembangunan Singapura, dan bersedia untuk mengambil alih rantaian industri yang ingin mereka lepaskan.


 

apa

 


Kita harus cuba meyakinkan mereka untuk terus kekal saling bekerjasama dan bergantung antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya dari segi aliran rakyat dan barangan, dasar negara itu lebih mesra dengan kita. 

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura telah berusaha keras membangunkan industri mewah.

 

Terdapat banyak kilang farmaseutikal terkenal di dunia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuklah Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

 

Bagaimana pula dengan kita? Selain melaungkan Revolusi Industri 4.0, adakah infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kita sudah bersedia?

 

Sebenarnya menjadi hasrat rakyat untuk bekerja dan menetap di kawasan setempat dengan selesa. Ramai yang sudah muak kerana setiap kali pilihan raya, pasti muncul angan-angan yang sia-sia.


 

apa

 


Jika rakyat dan ahli politik boleh bersikap rendah diri berusaha untuk memahami dan bekerjasama, wang ringgit yang dilaburkan untuk pembangunan industri pastinya lebih bermakna.

 

Dalam persekitaran ekonomi yang sihat, peranan kerajaan untuk membangunkan dan melaksanakan rancangan ekonomi jangka panjang yang berwawasan.

 

Sebagai contoh, dari segi kenaikan gaji, kerajaan boleh memikirkan bagaimana untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing rakyat, selain mengkaji dengan teliti dasar penambahbaikan gaji agar rakyat bersedia untuk bekerja dalam sektor perkilangan tanpa ada rasa tekanan.

 

Mungkin dengan cara ini sahaja, rakyat Johor akan melihat keikhlasan mereka dan membuat pertimbangan yang terbaik semasa membuang undi nanti. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Oriental Daily, 10 Mac 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags