Apa Kerajaan Perlu Buat Untuk Stabilkan Harga Barang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 8 December 2021

Apa Kerajaan Perlu Buat Untuk Stabilkan Harga Barang

 

 

TATKALA negara masih lagi bergelut untuk keluar daripada kemelut pandemik dan rakyat cuba bangkit demi kelangsungan hidup, kenaikan harga barangan asas terus menjadi kerisauan rakyat.

 

Ia menjadi satu bebanan kepada rakyat jika hal ini berterusan. Rakyat masih lagi bertarung untuk memulihkan ekonomi mereka.

 

Kenaikan harga bahan mentah seperti sayur, telur, ayam, ikan, minyak dan banyak keperluan harian lain naik mendadak melebihi 100%.

 

Apakah puncanya?

Rata-rata peniaga dan pemborong menyatakan kenaikan ini didorong oleh kenaikan harga minyak kenderaan sebagai alasan kepada kenaikan harga bahan mentah dan keperluan ini.

 

Selain itu peningkatan harga bahan input pertanian seperti racun dan baja juga dikata punca kenaikan harga bahan-bahan mentah seperti sayur naik mendadak.

 

Namun adakah masuk akal, dalam sekelip mata sahaja harga bahan mentah dan barang keperluan ini naik melebihi 100%?


 

volatiliti

 


Model Permintaan dan Penawaran Dalam Ekonomi

Secara asasnya, berlaku kenaikan harga barang ini dapat dijelaskan dengan model permintaan dan penawaran dalam ekonomi.

 

Model permintaan dan penawaran sebenarnya menerangkan interaksi dalam pasaran untuk sesuatu barangan di antara pengeluar dan pengguna, dan hubungannya dengan harga dan penawaran barangan itu.

 

Harga sesuatu barang akan ditentukan oleh keseimbangan di antara pengeluaran pada setiap harga (bekalan/ penawaran) dan keinginan oleh mereka dengan kuasa membeli pada harga (bekalan/penawaran).

 

Naik turun harga barang adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor permintaan dan bekalan. Permintaan dan bekalan ini pula dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti bekalan yang mencukupi yang seterusnya akan menentukan kos sesuatu barang.

 

Bahasa mudahnya, jika barang sedikit dan permintaan banyak akan membawa harga barang naik atau meningkat.

 

Ibarat Luka Terkena Garam

Memanglah Model Penawaran dan Permintaan menunjukkan keadaan yang betul dalam tindakan balas kepada permintaan dan penawaran yang membawa kepada kenaikan harga barang ini.

 

Namun begitu kenaikan harga barang mentah dan keperluan yang naik mendadak ini membuatkan rakyat terus rasa terhimpit demi kelangsungan hidup.

 

Tidak dinafikan, rakyat sudah mula untuk bekerja atau kembali berniaga namun kenaikan harga barang mentah dan keperluan ini sememangnya menekan rakyat.

 

Seperti yang kita semua sedia maklum, golongan B40 di Malaysia yang semakin meningkat kesan daripada pandemik yang berlaku.

 

Kini golongan B40 telah meningkat lagi 600,000 isi rumah apabila golongan berpendapatan pertengahan M40 yang telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.

 

Keadaan semasa menunjukkan kuasa beli rakyat yang sememangnya rendah, di tambahkan dengan kenaikan harga barang ini.  Ia ibarat luka yang terkena garam. Aduhai pedihnya!

 

volatiliti

 

 

Kerajaan Perlu Menambah Subsidi Bahan Bakar

Dalam mengawal harga bahan mentah dan keperluan yang naik mendadak ini, langkah jangka masa pendek yang boleh dilakukan oleh kerajaan dengan menambah subsidi bahan bakar.

 

Jika kerajaan menambah subsidi bahan bakar ini, secara tidak langsung boleh mengurangkan kos pengangkutan.

 

Kos pengangkutan ini sering dikatakan menjadi “punca” kepada kenaikan harga barang.

 

Jika kerajaan menambah subsidi bahan bakar ini, tiada alasan lagi bagi peniaga dan pemborong yang sering mengatakan harga barang naik atas tindakan balas kepada kos pengangkutan yang meningkat dek kerana kenaikan harga bahan bakar ini.

 

Perkasakan Segera Industri Asas Tani dan Penternakan

Dalam keadaan semasa, kenaikan harga barang pada kali ini banyak melibatkan bahan mentah dari industri asas tani dan penternakan.

 

Sekali lagi, memberi subsidi kepada input industri pertanian seperti baja dan racun boleh menampung kos bagi pengusaha industri ini.

 

Dari sudut pandang yang lebih besar, kita memang agak bimbang dengan industri asas tani ini.


 

volatiliti

 


Kenapa?

Ini kerana industri ini masih lagi bergantung kepada import yang besar nilainya. Setahun, dianggarkan lebih kurang RM50 bilion industri  ini mengimport keperluan bagi keperluan domestik. Nilai ini agak besar!

 

Adakah Malaysia tidak mampu membangunkan sendiri industri asas tani bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import?

 

Adakah negara kita mempunyai kapasiti seperti tanah yang mencukupi untuk membangunkan industri ini?

 

Adakah negara tidak mempunyai peluang dan teknologi yang baik bagi memajukan industri ini?

 

Apa yang kerajaan menerusi kementerian yang terlibat adalah memperkasakan dengan segera industri ini bagi mengurangkan kebergantungan import dalam industri ini.

 

Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) perlu dirancang dan digunakan dengan baik untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran produk pertanian dan makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan import.

 

Selain itu, bagi industri penternakan pula, peningkatan kos bahan makanan ternakan yang menjadi beban kepada pengusaha ternakan. Industri penternakan juga boleh dibantu oleh  kerajaan bagi mengurangkan beban mereka dalam usaha menstabilkan semula harga bahan mentah seperti ayam dan lain-lain produk ternakan.


 

volatiliti

 


Perketatkan Akta dan Lancarkan Operasi “Ops”

Kerajaan juga perlu mengambil serius dalam hal kenaikan harga barang ini. Jika pelbagai akta dan penguasaan dibuat bagi menjaga keselamatan negara begitulah juga untuk menjaga hak pengguna dan rakyat.

 

 Ini bukan benda yang boleh pandang sebelah mata. Hak rakyat perlu dibela dengan kenaikan harga barang yang kadang-kalanya diambil kesempatan oleh peniaga dan pemborong.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) mempunyai kuasa mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengawal harga barang serta mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau syarikat yang menaikkan harga barang secara melampau ini.

 

Gerak gempur KPDHEP perlu bergiat secara lebih aktif dan turun padang untuk memastikan tiada peniaga dan pemborong yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang mentah dan keperluan tanpa alasan munasabah.

 

Kuasa yang ada pada pegawai-pegawai KPDHEP untuk mengenakan kompaun dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga dan pemborong yang menaikkan harga barang sesuka hati boleh digunakan dengan sebaik mungkin.

 

Selain itu, gerakan semua operasi seperti Ops Menu, Ops Catut, Ops Rantai dan Ops Pasar perlu dibanyakkan lagi bagi memastikan kestabilan harga barang di pasaran.

 

Kaji Kawalan Harga Barang dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHKMM)

 

Pada masa kini, KPDHEP memang bertanggungjawab sepenuhnya kepada kawalan harga barang. Namun kawalan harga barang hanya lah melibatkan barang tertentu sahaja. Barang yang di bawah kawalan harga barang di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan 2011 hanya seperti:

 

  1. Gula putih bertapis kasar dan halus
  2. Gas petroleum cecair
  3. Petrol Ron 95
  4. Diesel
  5. Pelitup muka
  6. Barangan yang terlibat dengan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan tertentu

 

Dalam situasi semasa, kerajaan juga mungkin boleh melihat barang-barang lain yang menjadi keperluan utama rakyat sebagai barang harga kawalan.

 

Harga barang juga mungkin juga perlu dikawal mengikut kawasan atau negeri dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan harga pasaran semasa.


 

volatiliti

 


Perbanyakan Program Jualan Keluarga Malaysia

Jika kerajaan ingin mengurangkan beban rakyat, kerajaan boleh memperbanyakkan jualan barangan keperluan asas melalui Program Jualan Keluarga Malaysia.

 

Buat masa ini, banyak negeri telah melaksanakan program ini. Kerajaan boleh merangka program ini di seluruh Malaysia yang mana, jualan barang keperluan asas pada program ini adalah lebih rendah pada kadar 10% hingga 30% pada harga pasaran.

 

Hal ini dilihat sebagai salah daripada usaha yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat yang menghadapi kenaikan harga barang.

 

Sinergi Bersama Tangani Isu Kenaikan Harga Barang

KPDNHEP dan semua agensi di bawah KDN perlu bekerjasama untuk terus memantau dan menguatkuasakan tindakan mengekang kenaikan harga barang yang mendadak ini.

 

Selain itu, kementerian yang boleh bekerjasama menyelesaikan isu tersebut ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya lebih banyak inisiatif serta tindakan penguatkuasaan bersepadu dapat dirangka dan dilaksanakan.

 

Semua pihak perlu sepakat dan berganding bahu bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang ini di samping membantu ke arah meningkatkan kestabilan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags