Ramai pelancong Malaysia ziarah masjid di Songkla itu! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 13 December 2023

RAMAI PELANCONG MALAYSIA ZIARAH MASJID DI SONGKLA ITU !

 

 

BEBERAPA minggu kebelakangan ini kecoh cerita seorang pempengaruh yang berkahwin seorang lagi isteri (berpoligami) di sempadan.

 

Tambah berkicau lagi netizen ialah kerana pempengaruh ini dikenali sebagai personaliti baik yang selalu memberi nasihat kepada anak-anak muda tentang kehidupan dan bagaimana untuk hidup bahagia dalam berkeluarga.

 

Daripada videonya yang lalu di media sosial, kelihatannya dia sangat bahagia dengan kehidupan dia dan nasihat-nasihat yang diberikan itu memang berguna terutama untuk golongan muda.

 

Dalam fikiran saya baguslah anak-anak muda ada idola yang boleh mereka jadikan contoh. Nasihat orang-orang tua seperti saya mungkin tidak laku pada telinga anak-anak muda generasi Z.      

 

Namun selepas pecah cerita pempengaruh ini bernikah seorang lagi isteri di sempadan, ramai netizen yang memberikan pelbagai komen. Tambah pula isterinya yang juga seorang pempengaruh dilihat sebagai isteri contoh yang berkeperibadian baik, cantik, berjaya dan berpendidikan tinggi.


 

anekdot mawarith
Pantai di Songkhla yang mendamaikan. - Gambar izzati syamimi 

 


Apa lagi yang si suami mahukan? Bukankah dia sudah mendapat isteri yang hampir sempurna. Persoalan ini banyak berlegar di media sosial.

 

Bila saya baca komen-komen ini seriau juga kerana netizen terutamanya golongan wanita tidak tertahan-tahan mengutuk dan memaki pempengaruh ini semahunya.

 

Tempias daripada cerita ini terkena juga kepada saya apabila isteri saya juga bertanya, apa sebenarnya yang lelaki mahukan?

 

Lidah saya kelu untuk memberi jawapan kerana hakikatnya setiap lelaki itu akan ada sebab yang berbeza untuk berpoligami atau tidak berpoligami. 

 

Lama sebelum cerita ini pecah, semenjak hampir 20 tahun lepas, saya sudah menyuarakan pandangan saya tentang isu poligami di negara sempadan ini.

 

Sebagai orang yang bekerja di dalam bidang perancangan harta secara Syariah sejak hampir 26 tahun yang lepas, isu poligami ini adalah antara isu berat yang kami sentiasa hadapi.

 

Suami memang mahu merancang harta untuk kedua-dua isteri pertama dan isteri kedua. Dia mahu membuat hibah bagi menghibahkan harta-harta tertentu kepada setiap isteri itu. Tetapi dia tidak mahu isteri pertama mengetahui kewujudan isteri kedua.


 

anekdot mawarith

 


Walaupun begitu si suami tahu bahawa suka atau tidak,  dia akan berhadapan dengan situasi di mana dia akhirnya perlu berterus-terang dengan isteri dan keluarga pertama.

 

Si suami tahu dia akan berhadapan dengan ‘ribut’ kemarahan yang tidak sedikit dari isteri pertama dan anak-anak isteri pertama yang sudahpun dewasa kerana mereka akan merasakan mereka dikhianati.

 

Si suami tahu bahawa isteri pertama akan dengan lantangnya bertanyakan soalan, “Apa lagi yang tidak sempurna dengan layanan saya selama ini. Tidak cukupkah semua pengorbanan saya selama ini?”

 

Si suami juga tahu dengan jelas akan ada risiko anak-anak daripada isteri pertama akan membencinya.

 

Dalam banyak keadaan si suami akan mengambil pendirian tunggu dan lihat. Mereka membeli masa dengan harapan akan tiba waktu yang sesuai untuk berterus-terang.

 

Isu mendaftarkan perkahwinan kedua itu tidak menjadi masalah kerana ada negeri-negeri tertentu di mana proses pengesahan poligami ini dapat dibuat dengan agak mudah. Jadi jika pun ada anak daripada perkahwinan kedua, kelahiran itu dapat didaftarkan dengan agak mudah.

 

Jadi persoalan yang lebih besar kepada si suami ialah ‘timing’ terbaik untuk berterus-terang dengan isteri pertama. Secara peribadi, saya rasa tidak wujud ‘timing’ yang terbaik untuk memecahkan cerita ini. Apa ‘timing’ pun memang tidak dapat meminimakan pergaduhan yang bakal tercetus.


 

anekdot mawarith

 


Ini kerana poligami di sempadan ini akan mengguris banyak perasaan. Kenapa ? Sebab utamanya ialah kerana ia dibuat secara sembunyi-sembunyi. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba isteri pertama telah dimadukan oleh suaminya.

 

Menyelami hati seorang isteri yang mungkin bertahun-tahun lamanya berkorban dan memberikan segala-galanya untuk membina kebahagian berkeluarga, berita si suami berpoligami memang akan menjadi trauma yang sangat hebat. Saya faham hakikat itu.

 

Namun saya juga ingin memberi peringatan kepada para isteri di Malaysia bahawa pernikahan di sempadan itu sememangnya agak mudah prosedurnya.

 

Pernikahan boleh dibuat melalui wali hakim yang dilantik oleh pihak berkuasa agama di sempadan asalkan sahaja jarak di antara pengantin perempuan dan walinya melebihi 2 marhalah.

 

Ini bermakna suami anda boleh sahaja dengan mudah membawa bakal isteri keduanya melepasi sempadan dan menuju ke tempat-tempat ini untuk bernikah.

 

Banyak agensi pengurus pernikahan wujud di sempadan. Dengan bayaran serendah RM1,300 sahaja, suami anda boleh bernikah dengan sah di Majlis Agama Islam Songkhla, disediakan jurunikah dan saksi bertauliah siap dengan khidmat jurugambar profesional serta semua urusan dokumentasi nikah yang lengkap disediakan. Malah pakej berbulan madu juga ditawarkan sekali bagi yang lebih berkemampuan.

 

Masjid Songkhla yang perjalanannya hanyalah kurang 45 minit dari sempadan Bukit Kayu Hitam itu memang masjid yang cantik. Ia digelar ‘Taj Mahal’ kerana bentuknya yang seiras.


 

anekdot mawarith
Masjid Jamek Songkhla direka bentuk dengan seni bina Islam, lengkap dengan kolam.

 


Ramai pelancong Malaysia yang singgah di situ. Di saat yang perempuan menikmati pemandangannya yang indah, yang lelaki pula berbisik-bisik berminat ingin tahu tentang majlis pernikahan lelaki Malaysia yang banyak berlaku di masjid itu.

 

Di dalam bergurau, saya selalu ingatkan kawan-kawan yang kerap melancong melepasi sempadan di utara supaya kurangkanlah ziarah Masjid Songkhla tu. Dibimbangi nanti terbit pula keinginan itu. Kalau nak berhenti solat, singgahlah masjid yang lain.

 

Di dalam Seminar Hibah Kontemporari baru-baru ini, saya sebagai moderator bertanya kepada panel iaitu seorang hakim mahkamah syariah, apakah halangan yang wujud bagi lelaki Malaysia yang ingin bernikah di sempadan.

 

Jawapannya yang pasti menimbulkan ketakutan kepada semua peserta wanita yang hadir ialah, “Tiada apa-apa halangan pun kerana prosedur di tempat tersebut memang mudah! Bawa saja pengantin perempuan ke situ dan yang lainnya akan diuruskan dengan bayaran perkhidmatan yang tertentu.”

 

Begitulah mudahnya pernikahan di sempadan. Memang prosedur pihak berkuasa negara itu sedemikian. Siapalah kita nak mengajar mereka supaya mengubah prosedur yang telah diguna pakai sekian lama.

 

Jadi para isteri sekelian, hati-hatilah apabila suami anda suka sangat singgah di Masjid Songkhla itu kerana dikhuatiri mereka sedang merancang membina masjid baru yang lain!

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags