Membina kerjaya di dalam Industri Perancangan Harta secara Syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 November 2023
wasiyyah

MEMBINA KERJAYA DI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA SECARA SYARIAH

 

 

 

HARI ini banyak pihak memperkenalkan diri sebagai pakar di dalam perancangan harta mengikut kaedah Syariah.

 

Mereka bergiat aktif membantu masyarakat membuat dokumen hibah, wasiat Islam, wasiat melantik wasi, harta sepencarian, amanah dan pelbagai dokumen lain yang berkaitan.

 

Pada saya ini perkembangan yang positif kerana keterlibatan banyak pihak akan mewujudkan kesedaran yang tinggi di dalam masyarakat. Organisasi mana yang masyarakat akan pilih, itu bergantung kepada penawaran perkhidmatan yang diberikan oleh pihak-pihak berkenaan.

 

Saya masih ingat ketika saya baru bermula di dalam industri ini pada tahun 1998, tidak banyak pihak yang berani mendakwa mereka pakar.

 

Malah di dalam Malaysia hanya ada beberapa orang sahaja termasuk diri saya sendiri yang aktif bergerak ‘secara komersial’ di dalam masyarakat untuk mendidik mengenai perancangan harta.

 

‘Secara komersial’ di sini bermaksud individu yang bergerak tanpa dibayar gaji oleh mana-mana pihak sama ada Kerajaan mahupun organisasi besar.

 

wasiyyah

 


Daripada industri perbankan dan pelaburan yang saya berkemahiran di dalamnya, saya memberanikan diri menceburkan diri ke dalam industri perancangan harta secara Syariah tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.

 

Memang ia satu pertaruhan yang besar kepada saya kerana pada 1998, industri ini boleh dikatakan tidak wujud sama sekali. Saya tidak tahu langsung sama ada saya boleh bertahan di dalam industri ini atau tidak kerana tiada mana-mana pihak yang boleh saya buat rujukan.

 

Pada tahun 2004, bila saya bertanya kepada seorang kawan peguam sama ada perniagaan ini berpotensi atau tidak, jawapannya, “Aku yang peguam ni pun tak berani nak buat bisnes ini apatah lagi kau yang langsung tak ada asas undang-undang mahupun Syariah! Mana ada orang nak bayar kau untuk perkhidmatan buat dokumen perancangan harta ni! Idea kau ini hampir pasti gagal.”

 

Bergerak 20 tahun ke hadapan, hari ini jika saya terserempak dengan kawan yang sama di dalam seminar atau apa-apa acara, dia akan sibuk cuba bertanya saya bagaimana Wasiyyah Shoppe Berhad boleh pergi begitu jauh dan boleh membina perniagaan ini sebagai satu industri yang kini berebut-rebut ingin dimasuki oleh pelbagai pihak.

 

Saya hanya tersenyum sambil menjawab, “Ini semua kerja Allah bang. Saya hanya berusaha, Dia yang menentukan.”

 

 

 E-Myth

 


Semangat saya untuk menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam industri ini di antaranya ialah apabila saya membaca satu buku, E-Myth pada tahun 2003. Di dalamnya didedahkan satu fakta yang memeranjatkan.

 

Kajian yang dibuat oleh Harvard University pada 1990-an menunjukkan bahawa 80% daripada perniagaan yang ditubuhkan di Amerika Syarikat gagal di dalam tempoh 5 tahun pertama penubuhannya.

 

Dalam kalangan 20% yang selamat itu pula, 80% daripadanya akan gagal di dalam tempoh 5 tahun kedua. Ini bermakna jika ada 100 perniagaan ditubuhkan, hanya 4 sahaja perniagaan yang akan terus beroperasi selepas 10 tahun yang pertama.

 

Apabila dikaji, didapati bahawa kesemua 100 perniagaan ini mempunyai ciri yang sama iaitu ia ditubuhkan oleh ‘technician’. Apakah maksud ‘technician’ ini? Ia bermaksud individu yang mempunyai latar belakang pendidikan formal di dalam perniagaan yang diceburinya.

 

Contohnya jika dia belajar kulinari di kolej, resamnya dia akan membuka perniagaan restoran atau makanan. Jika dia belajar kejuruteraan mekanikal , maka pastinya dia akan membuka perniagaan bengkel sekiranya dia mahu berniaga.

 

Inilah maksud ‘technician’. Apa yang memeranjatkan saya ialah buku ini mengatakan salah satu dari faktor kegagalan (bukan satu-satunya faktor kegagalan) ialah kerana ia diterajui oleh individu yang mempunyai latar belakang pendidikan teknikal perniagaan yang ingin diceburinya.

 

Kenapa jadi demikian? Kerana menurut buku ini orang ‘technician’ sangat terikat dengan pengetahuan teknikalnya dan kerana itu dia gagal melihat perniagaannya di dalam bentuk yang lebih holistik.

 

Saya memegang dagu sambil berespon, “Oooooo…” apabila membaca buku ini.


 

parafrasa

 


Di dalam industri perancangan harta ini, kebanyakan peneraju organisasinya ialah orang yang berlatarbelakangkan undang-undang ataupun syariah.

 

Saya ini di antara beberapa orang peneraju  yang berlatarbelakangkan perbankan dan kewangan. Selepas membaca buku, saya memberanikan diri menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2004.

 

Ia memang tidak mudah dan sangat mencabar. Jika semangat tidak kuat, memang sudah lama saya kibar bendera putih.

 

Namun dengan bantuan ramai rakan-rakan di sekeliling terutamanya Lembaga Pengarah dan Panel Syariah yang sangat komited, Alhamdulillah, cita-cita untuk membantu orang Islam merancang harta mengikut kaedah Syariah ini sedikit demi sedikit mula membuahkan hasil.

 

Kini Wasiyyah Shoppe Berhad sudahpun berjaya membantu lebih dari 80,000 orang Islam merancang harta dan sudah hampir RM750 juta nilai harta pusaka telah berjaya diurus dan diturun milik kepada waris-waris yang berhak baik melalui kaedah faraid, permuafakatan, hibah atau wasiat.

 

Jika ditanya, saya akan katakan antara faktor kejayaan kami ialah kerana kami mempunyai jumlah daie terlatih yang paling ramai di Malaysia.

 

Walaupun daie-daie ini majoritinya terdiri daripada perancang kewangan yang merasakan industri perancangan harta ini adalah sebahagian daripada industri kewangan, namun kami mempunyai juga daie-daie yang menceburi bidang ini semata-mata kerana yakin mereka boleh membantu masyarakat melalui kerja ini.


 

parafrasa

 


Sehingga hari ini, Wasiyyah Shoppe Berhad terus aktif mengajak sesiapapun pun yang berminat untuk menyertai kami sebagai daie bagi menyebarkan ilmu fiqh mawarith ini kepada masyarakat.

 

Kami memerlukan lebih ramai daie kerana masalah harta pusaka masyarakat semakin kronik.

 

Jangan bimbang tentang latar belakang anda kerana saya pun tiada pendidikan formal  undang-undang mahupun Syariah. Apa yang paling penting, ialah minat dan semangat untuk membantu umat Islam.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai organisasi yang paling berpengalaman di dalam bidang ini di Malaysia, membantu dengan membangunkan pelbagai modul latihan yang terkini bagi membantu para daie utnuk menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

 

Jika nawaitunya betul, Insya-Allah segala-galanya akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Jom sertai Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai daie.

 

 

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

  

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

dagangnews

 

 

 

Portfolio Tags